Bayi lemas: Taska beroperasi tanpa lesen

Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Seksyen 32 yang merupakan lokasi seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan lemas dalam baldi didapati beroperasi tanpa lesen. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan awal mendapati taska itu baru beroperasi sejak lapan bulan lalu bermula Disember tahun lalu. 

Katanya, pihaknya telah menahan pemilik taska tersebut yang merupakan seorang wanita berusia 30 tahun pukul 10 malam tadi. 

"Kita akan memohon perintah tahan reman terhadap pemilik taska itu di Mahkamah Shah Alam pagi ini. 

"Siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian termasuk aspek kecuaian dengan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut beliau, taska itu terletak di tingkat dua bangunan lot kedai dengan mempunyai tiga orang pengasuh perempuan berusia 18 hingga 22 tahun. 

Ujar beliau, taska tersebut juga mempunyai 25 orang anak asuhan berusia antara satu hingga tiga tahun. 

"Semasa kejadian lemas pukul 1.45 petang itu hanya ada 10 orang anak asuhan sahaja di taska dengan mangsa  merupakan bayi berusia sembilan bulan. 

"Kesemua 10 anak asuhan ketika itu sedang membuat aktiviti memancing di dalam bilik aktiviti dengan mangsa ditemui berada dalam baldi kecil berisi air di bilik air dalam keadaan kepala ke bawah oleh seorang pengasuh selepas aktiviti tersebut, "katanya. 

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati ibu mangsa merupakan warga Indonesia yang telah bercerai dengan suaminya sejak setahun lalu. 

"Mangsa yang merupakan anak tunggal telah dihantar sejak 10 hari lalu dengan bayaran bulanan RM350. 

"Kebiasaannya, mangsa akan dihantar ke taska tersebut pukul 7 pagi dan akan diambil pukul 2 petang namun kadangkala hingga lewat petang sekiranya ibu mangsa yang merupakan kedi golf bekerja lebih masa," katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan ditemui lemas tersembam di dalam baldi tandas sebuah taska di Seksyen 32, Shah Alam. 

Abdul Rayyan Mijan, ditemui tidak sedarkan diri oleh penjaga taska berkenaan selepas dipercayai merangkak ke dalam tandas yang tidak dikunci pintunya. - K! ONLINE
Powered by Blogger.