Perompak Berjaya Membawa Watak Penyakit Kencing Manis
Berpura-pura menghidap sakit kencing manis kritikal sebelum merompak pemilik rumah yang juga seorang wanita warga emas.
Suspek membabitkan dua wanita dan seorang lelaki sebelum itu dikatakan berlakon kononnya memerlukan daun ditanam di rumah mangsa untuk dijadikan ubat sakit itu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, dalam kejadian jam 1.30 petang kelmarin, mangsa wanita berusia 74 tahun kerugian RM2,000 apabila gelang emasnya dilarikan tiga perompak yang muncul di kediamannya di Jalan Parit Ismail Benut, di sini.
Menurutnya, pada hari kejadian, mangsa didatangi dua wanita dan seorang lelaki yang menaiki kereta Proton Inspira berwarna putih.
“Penjenayah meminta daun yang dikatakan dijadikan ubat tradisional untuk mengubati penyakit kencing manis.
“Ketiga-tiga suspek mendakwa menghidap kencing manis serius dan mahu menggunakan daun itu sebagai penawar.
“Suspek lelaki bersama seorang suspek wanita menemani mangsa ke tepi rumah untuk mengambil daun yang dimaksudkan itu manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam kereta,” katanya.
Menurutnya, kumpulan penjenayah beredar pergi selepas mengambil daun itu.
“Bagaimanapun mangsa yang masuk ke dalam rumah mendapati beg tangan di meja dapur seolah-olah dialihkan,” katanya.
Menurutnya, mangsa memeriksa beg tangan dan mendapati wang tunai dan gelang emas yang disimpan di dalam begnya itu hilang.
Katanya, mangsa percaya rumahnya dimasuki seorang perempuan yang datang ke rumahnya itu.
“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Benut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. -HARIAN METRO
Post a Comment