Dua Beranak Maut Kemalangan
Dua beranak maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 59 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kampung Keroh, Kuala Krai, semalam.
Dalam kejadian 5 petang penumpang Perodua Kancil, Mohd Faizul Che Aziz, 22, maut di lokasi kejadian manakala pemandu, Che Aziz Shepii, 58, meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Kuala Krai.
Pemandu Toyota Wish berusia 33 tahun mengalami sakit dada manakala 17 pemandu dan penumpang empat kenderaan lain termasuk bayi berusia 56 hari tidak mengalami kecederaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Superintendan Wan Fauzi Wan Ishak berkata, kemalangan membabitkan Perodua Kancil, Perodua Kelisa, Proton Saga, Toyota Wish dan Honda Jazz.
Katanya, siasatan awal mendapati Toyota Wish dari arah Kota Bharu ke Gua Musang masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sisi kanan Honda Jazz.
"Toyota Wish itu kemudian berlanggar secara berdepan dengan Perodua Kancil dinaiki mangsa.
"Kereta Perodua Kelisa dan Proton Saga yang berada di belakang Perodua Kancil tidak sempat mengelak turut terbabit dalam kemalangan itu," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kemalangan mengakibatkan penumpang Perodua Kancil maut di tempat kejadian manakala pemandunya meninggal dunia di hospital.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. -HARIAN METRO
Post a Comment