Nicol, PSA lancar kempen inspirasi untuk pemain wanita


Selepas seminggu mengakhiri karier sebagai pemain profesional, legenda skuasy negara, Datuk Nicol David telah memulakan perjalanan baharu untuk terus mencurah bakti dengan memberi inspirasi kepada bakat dalam sukan berkenaan.

Juara dunia lapan kali berusia 35 tahun itu, telah melancarkan kempen ‘It's Mine’, iaitu program kesedaran bersama Persatuan Skuasy Profesional (PSA), bagi membantu memupuk rasa kepunyaan dan pemilikan dalam kalangan pemain dan pada Jelajah Dunia PSA.

Kempen tersebut dibangunkan oleh PSA bersama Nicol dalam usaha meningkatkan kesedaran dan penglibatan dalam kejohanan jelajah wanita, penyertaan pemain wanita dalam Jelajah PSA dan mewujudkan sebuah kejohanan jelajah yang lebih lestari.

Diiktiraf sebagai salah seorang pemain wanita paling hebat dalam dunia skuasy, Nicol akan menjadi penggerak utama di sebalk kempen tersebut dengan menampilkan tujuh duta dengan nilai berbeza .

Mereka adalah trio Mesir - pemain nombor satu dunia, Raneem Wl Welily, juara dunia tiga kali, Nour El Sherbini (2) dan Nour El Tayeb (5), pemain Perancis, Camille Serme (3), pemain England, Sarah-Jane Perry (7), pemain Amerika Syarikat, Amanda Sobhy (8) dan pemain Wales dan ranking sembilan dunia, Tesni Evans.

"Kempen ini merangkumi nilai-nilai yang dimiliki oleh duta-duta ini dan saya berharap mereka ini akan menjadi contoh kepada pemain lain. Saya harap mereka akan memberi inspirasi kepada setiap pemain,” kata Nicol dalam kenyataan di sini hari ini.

Nilai-nilai yang dimiliki oleh duta-duta ini akan dilancarkan menerusi kempen multimedia yang terdiri daripada terbitan video, grafik dan wawancara di mana duta-duta ini akan mengadakan ceramah motivasi pada kejohanan Jelajah Dunia PSA dan Jelajah Cabaran PSA, katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PSA, Alex Gough berkata mereka gembira untuk terlibat dalam kempen bersama Nicol dan tidak sabar untuk bekerja dengan pemain legenda itu serta menggalakkan semua pemain dan peminat menyokong kempen tersebut.

Peminat boleh mengambil bahagian dalam kempen tersebut dengan menyertai peraduan dan hantaran dalam media sosial mengenai nilai masing-masing dengan menggunakan hastag #ItsMIne.

Kempen tersebut akan dijalankan menerusi saluran digital PSA sepanjang tahun sehingga berlangsung Kejohanan Wanita Dunia di kompleks Piramid Giza, di Kaherah, Mesir, Oktober ini. -BERNAMA
Powered by Blogger.