Tak menang tangan, siapkan tempahan


Ramadan menjadi bulan dinanti-nanti pereka fesyen dan tukang jahit untuk melipatkan ganda pendapatan berikutan tempahan yang banyak daripada pelanggan sebagai persiapan untuk tampil bergaya pada pagi raya.

Tukang jahit kampung, Masrina Mohd Sadikin, 39, mendapat pendapatan bersih sehingga RM5,000 sebulan berbanding hari biasa sekitar RM2,000 sebulan setiap kali menjelang Ramadan.

Malah, ibu kepada tiga anak ini, menutup tempahan sejak awal Mac lalu kerana tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan pelanggan di sekitar Lembah Klang.

Katanya, tempahan dibuka bermula awal Januari lalu dan ada pelanggan menghantar pakaian raya yang banyak pada setiap bulan.

Menjahit sejak usia 12 tahun

“Memang tidak menang tangan untuk jahit pakaian raya. Jadi, saya mengupah rakan baik untuk membantu memotong kain. Setakat ini, lebih 100 helai baju raya ditempah pelanggan di sekitar kawasan ini dan ada pelanggan setia sanggup datang jauh semata-mata membuat tempahan,” katanya.

Masrina berkata, sejak berusia 12 tahun mula berjinak-jinak menjahit pakaian sendiri, selain membantu menyiapkan tempahan baju kurung, kurung moden, jubah dan pakaian kanak-kanak dan telekung untuk kegunaan Terawih dan sembahyang sunat raya.

Katanya, tahun lalu, lebih 60 helai telekung ditempah untuk kegunaan bulan puasa. Untuk raya kali ini, saya hadkan pengambilannya kerana tidak sempat menjahit.

“Saya menerima terlalu banyak tempahan dan untuk bulan lalu saja, saya sudah menutup tempahan kerana biasanya seminggu sebelum raya, semua tempahan pelanggan sudah siap sepenuhnya.

“Cuma untuk teman rapat mereka sanggup tunggu lama dan tidak kisah mengambil baju pada malam raya. Itupun jika saya tidak pulang beraya di kampung di Perak,” katanya.

Beliau berkata, walaupun banyak butik dan di laman sosial mengeluarkan pelbagai jenama, fesyen dan corak terkini untuk busana raya atau baju kurung moden, tetapi pelanggan tetap mencarinya menempah pakaian.

“Setiap kali raya, saya banyak menerima tempahan untuk kurung moden. Cuma yang berbeza adalah material kain seperti kapas dan sifon.

“Mungkin kerana ia malar segar dan selesa digayakan sempena hari raya berbanding baju fesyen lain yang lebih sarat dengan perincian labuci dan potongan ketat,” katanya.

Sebagai tukang jahit kampung, beliau tidak rasa terancam atau mengurangkan pendapatan setiap kali menjelang Aidilfitri.

Harga upah lebih murah

“Kadang-kadang rasa serba salah mahu menolak tempahan pelanggan. Saya juga ada sarankan pelanggan tempah sahaja di butik atau beli pakaian siap.

“Namun, mereka tetap mahu menggunakan khidmat saya kerana dikatakan lebih selesa, ukuran kena pada badan selain harga upah ditawarkan lebih murah.

“Untuk tahun ini, saya cuma naikkan RM5 sahaja untuk kos upah jahitan. Harga tempahan sepasang baju kurung cuma RM40, moden (RM55), jubah (RM40) dan baju kurung kanak-kanak cuma RM25,” katanya.

Beliau berkata, diakui harga sepasang baju kurung dijahit di butik mahal mungkin disebabkan kos seperti sewa kedai, gaji pekerja dan lain-lain seperti penggunaan elektrik lebih tinggi.

“Saya mahu menawarkan harga upah yang masih boleh dibayar pelanggan. Saya menjahit di rumah tiada kos tambahan hanya kemahiran dan tenaga,” katanya menjahit tiga helai baju kurung sehari.

Keistimewaan jahitan baju kurung terletak kepada kaedah memotong fabrik dan menggosok atau mematikan jahitan busana bagi memberikan keselesaan kepada si pemakai.

“Tukang jahit kampung bukan saja menawarkan harga upah murah, tetapi seiring dengan kualiti ditawarkan.

“Bermula dengan memotong fabrik, jahit tepi, menyambung kain, membuat jahitan sembat dan menggosok pakaian, semua dilakukan dengan sepenuh hati kerana minat,” katanya.
Powered by Blogger.