Kursi Kepimpinan Islam Sultan Brunei akan ditubuhkan di UiTM


Kursi Kepimpinan Islam Sultan Hassanal Bolkiah dicadang ditubuhkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata penubuhan kursi itu akan memfokuskan kajian kepemimpinan Islam, pengurusan dan pelaksanaan serta undang-undang syariah.

Kursi itu diharap bakal menjadikan Malaysia dan Brunei sebagai pusat pengembangan ilmu yang berkaitan dengan kesultanan Melayu khususnya dan kepimpinan umumnya di peringkat antarabangsa.

“Cadangan penubuhannya telah dipersembahkan dan memohon perkenan Sultan Hassanal Bolkiah hari ini. Dengan itu, kursi ini boleh dijadikan pusat pengajian, penyelidikan, rujukan dan pengumpulan dokumentasi berkaitan kesultanan Melayu dan kepimpinan Islam,” kata kementerian itu hari ini.

Sultan Hassanal Bolkiah telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor (Kepimpinan Islam) sempena Istiadat Konvokesyen ke-90 UiTM Mac lepas.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik selain menghadap Sultan Hassanal Bolkiah, turut mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya, Datuk Seri Awang Hamzah Sulaiman di Brunei.

Maszlee di samping itu mencadangkan kolaborasi pendidikan melalui pertukaran guru antara Brunei dan Malaysia diadakan. -- BERNAMA

Powered by Blogger.