ERL: Tambang percuma bagi kanak-kanak bawah 6 tahun


Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) mengumumkan tambang percuma kepada kanak-kanak berusia di bawah enam tahun yang menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, mulai esok.

ERL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kanak-kanak berkenaan tidak dikenakan tambang apabila menaiki perkhidmatan itu bersama penumpang dewasa yang membayar tambang.

Sebelum ini, tambang percuma hanya diberi kepada kanak-kanak berusia bawah dua tahun dan ia semakan pertama sejak ERL beroperasi 17 tahun lalu.

Setiap penumpang dewasa boleh membawa maksimum tiga orang anak untuk menikmati perjalanan percuma berkenaan.

Semakan umur itu juga memberi manfaat kepada kanak-kanak dan remaja di bawah umur 16 tahun apabila mereka dikenakan tambang kategori kanak-kanak.

Sebelum ini tambang kategori kanak-kanak dikenakan kepada mereka berusia di bawah 13 tahun dan kini enam tahun hingga 16 tahun.

Bagaimanapun, tiada pengumuman tambang baharu untuk golongan dewasa. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.