MCMC, kerajaan negeri bekerjasama laksana infrustruktur digital NFCP


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri di seluruh negara bagi memudah cara pelaksanaan infrastruktur digital yang akan menyokong Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) .

Pengerusinya Al-Ishsal Ishak berkata kerjasama itu bertujuan meningkatkan kesalinghubungan dalam memastikan orang ramai menikmati liputan jalur lebar lebih berkualiti sekali gus memajukan industri komunikasi dan multimedia negara.

"Selari dengan NFCP, matlamat paling utama ialah untuk menjamin kesalinghubungan digital yang mampan, berkualiti tinggi, menyeluruh dan mampu milik.

Dalam konteks ini, pihak kerajaan melalui MCMC dan pihak industri komited dan akan memberikan sokongan kepada kerajaan-kerajaan negeri daripada segi penyediaan infrastruktur yang inklusif pada kos yang efisien dan juga perkongsian amalan terbaik," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Al-Ishsal berkata sebagai permulaan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri Perak, Sarawak , Kedah, Melaka dan Selangor dalam masa terdekat.

Pihaknya juga telah bermesyuarat dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 11 Mei lepas dan akan membentuk Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bagi penyelarasan, perancangan dan pelaksanaan berkaitan telekomunikasi negeri itu. - BERNAMA 
Powered by Blogger.