Dyson Melancarkan Pembersih Vakum Dyson V11 – 20 Peratus Lebih Berkuasa Berbanding Model Sebelum Ini


Dyson ialah sebuah syarikat teknologi dari UK yang cukup terkenal untuk pembersih vakum nirwayarnya yang juga cukup berkuasa. Hari ini, di sebuah acara di Singapura, syarikat tersebut telah melancarkan pembersih vakum terbarunya, Dyson V11 yang hadir dengan beberapa kemaskini yang membuatnya pembersih vakum paling berkuasa yang pernah dikeluarkan oleh mereka. 

Pembersih vakum Dyson V11 ini dikuasakan oleh motor digital V11, dan dengan versi terbaru ini, Dyson mengatakan bahawa walaupun ia berputar pada kadar yang sama dengan model V10 pada 125,000RPM, ia mempunyai kuasa sedutan 20 peratus yang lebih berkuasa berbading sebelum ini.

Beberapa komponen lain juga dilihat hadir dengan kemaskini yang membuatkannya lebih tahan lasak dan berkuasa berbanding sebelum ini, seperti bahagian impeller yang bertanggungjawab untuk mengairkan udara dengan cekap.

Bukan itu sahaja, pembersih vakum terbaru ini juga boleh membersihkan lantai-lantai di rumah anda dengan lebih lama, kerana ia dimuatkan dengan tujuh sel bateri berkapasiti tinggi yang membolehkan Dyson V11 ini untuk digunakan selama satu jam dengan satu pengecasan penuh. 


Bergantung kepada keperluan pembersihan anda, ia juga hadir dengan tiga mod pembersih yang hadir dengan kuasa sedutan yang berlainan, termasuklah Auto Mode, Boost Mode dan Eco Mode.

Dyson V11 ini juga hadir dengan kecerdasan buatannya sendiri, dan ini dapat dilihat melalui mod Auto pembersih vakum ini bersama-sama dengan kepala pembersih High Torque yang akan mengubahsuai bukaan berdasarkan permukaan yang sedang dibersihkan.


Dengan model ini, Dyson turut memuatkan sebuah skrin LCD yang membolehkan pengguna untuk menukar mod pembersihan, melihat jangkahayat bateri, dan membolehkan vakum ini untuk memberitahu pengguna sekiranya perkakasan tersebut mempunyai sebarang masalah.

Menurut Dyson, pembersih vakum Dyson V11 sudahpun tiba di pasaran tempatan melalui pakej Dyson V11 Absolute yang dilengkapi dengan kepala pembersih High Torque pada harga RM3399. - Amanz
Powered by Blogger.