Projek Reben Kuning, MFLS antara pencapaian KBS


Projek Reben Kuning iaitu inisiatif bagi memberi peluang pekerjaan kepada bekas banduan dan belia bermasalah serta program Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) merupakan antara pencapaian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah teraju pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak setahun lalu.

Turut menjadi kebanggaan ialah pengenalan Skim Kesihatan Khas untuk atlet.

Memperkatakan tentang pencapaian itu kepada media hari ini, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan pihaknya dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) sedang bekerjasama dalam sebuah jawatankuasa khas berhubung usaha menyerap bekas banduan ke dalam sektor awam.

Menurutnya Projek Reben Kuning itu dilancarkan KBS dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya Jabatan Penjara tahun lepas, dengan tujuan memberi peluang kedua kepada bekas penghuni penjara dan sekolah pemulihan akhlak terutama daripada golongan belia.

Syed Saddiq menarik perhatian bahawa kerajaan akan dilihat bersifat 'hipokrit' jika mahu pihak swasta mengambil mereka bekerja namun ia sendiri tidak berbuat demikian.

"Kalau golongan ini tidak dibantu, siapa yang akan bantu," kata Syed Saddiq sambil menambah maklum balas yang diperoleh daripada sebuah syarikat besar menunjukkan pekerja berkenaan melakukan tugas dengan baik dan bersungguh-sungguh.

Syed Saddiq berkata KBS sendiri telah menyerap beberapa bekas penghuni Sekolah Henry Gurney berkhidmat dalam kementeriannya.

Menyentuh MFLS, Syed Saddiq berkata beliau berpuas hati dengan program pengganti kepada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) itu.

Ini antara lain, kerana pelaksanaan MFLS dapat menjimatkan kos berbanding PLKN selain modul program itu dirangka tanpa campur tangan politik.

Jelasnya, matlamat program itu lebih terarah kepada pembangunan jati diri dan belia berwawasan.

Dalam aspek sukan pula, Syed Saddiq berkata Skim Kesihatan Khas diperkenalkan bagi menjaga kebajikan para atlet. -- BERNAMA
Powered by Blogger.