Suntikan 'filler' perlu jalani mamogram


Pengguna yang mengambil suntikan ‘filler’ pada payudara dan punggung dinasihatkan supaya berunding dengan pakar bedah payudara dan menjalani ujian mamogram.

Pengarah Kursus Aesthetic Academy Asia, Datuk Dr S Morthy, berkata beliau sendiri menerima ramai pesakit yang menjadi mangsa suntikan ‘filler’ datang ke kliniknya selepas wujud masalah akibat suntikan itu.

Katanya, antara lain kes mangsa mendapat jangkitan, bengkak dan asimetri akibat suntikan filler itu yang dipercayai dilakukan di pusat kecantikan tidak diyakini kepakarannya.

“Biasanya, kami akan merujuk mangsa ke hospital dan menasihatkan mereka mengeluarkan ‘filler’.

“Mereka yang sudah mengambil suntikan ‘filler’ perlu berunding dengan pakar bedah payudara dan menjalani mamogram kerana anda tidak tahu apa yang disuntik ke dalam payudara dan di mana suntikan itu dilakukan.

“Mamogram perlu dilakukan terutama jika anda merancang untuk hamil atau mempunyai sejarah kanser payudara dalam keluarga,” katanya kepada BH.

Seperti bom jangka

Morthy berkata, terdapat kira-kira 300 pengamal am yang mendapat Letter of Credentialing and Privileging (LCP) untuk perkhidmatan perubatan estetik, namun LCP bukan lesen untuk mereka melakukan suntikan payudara.

Katanya, terdapat 200 hingga 300 jururawat dan pakar kecantikan yang melakukan suntikan sedangkan mereka tidak seharusnya berbuat demikian.

Terdapat golongan pakar kecantikan yang mendapat gelaran ‘doktor falsafah (PhD)’ dari sebuah kolej tempatan yang melakukan prosedur ini, sedangkan mereka bukan doktor perubatan.

Beliau berkata, perkhidmatan suntikan ‘filler’ oleh jururawat dan pakar kecantikan salah di sisi undang-undang kerana mereka bukan doktor perubatan yang mempunyai kelayakan melakukan prosedur estetik.

Katanya, semua jenis suntikan sama ada ‘filler’ untuk membesarkan payudara, Botulinium (botox), vitamin C, produk pemutihan, Platelet Rich Plasma (PRP) atau prosedur estatik lain.

“Ramai yang melakukan prosedur ini sama ada di rumah atau di stesen bergerak seperti van. Jika ditangkap, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Racun atau Akta Perubatan.

“Walaupun masalah ini ketara dalam masyarakat, belum ada sesiapa yang dilihat dikenakan tindakan. Ia seperti bom jangka sehingga prosedur estetik larangan ini boleh membawa maut kepada penggunanya,” katanya. - Berita Harian
Powered by Blogger.