Majlis Sosial Negara bangkitkan keperluan penglibatan semua kementerian penuhi perjanjian antarabangsa


Majlis Sosial Negara dalam mesyuarat hari ini membangkitkan keperluan mengenai penglibatan semua kementerian dalam memenuhi perjanjian kerajaan di peringkat antarabangsa.

Antara perjanjian yang ditandatangani oleh Kerajaan Malaysia dan memerlukan koordinasasi pelaksanaan dasar secara holistik adalah Convention on the Rights of the Child (CRC), the Convention on the Rights of People with Disabilities (CRPD) dan the Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (CEDAW), kata majlis itu.

Majlis Sosial Negara yang bermesyuarat buat pertama kali tahun ini dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat.

Majlis Sosial Negara dalam satu kenyataan berhubung mesyuarat itu berkata majlis itu juga bersetuju dengan empat kertas pertimbangan antaranya mengenai Isu Keciciran Kanak-Kanak Daripada Akses Pendidikan bagi membendung kesan negatif kepada ekonomi dan sosial negara.

Kertas pertimbangan yang turut dipersetujui ialah Isu Kehamilan dan Kesihatan Reproduktif Remaja: Pendekatan Holistik untuk bekerjasama menangani faktor sosial yang menjurus kepada isu kehamilan dan kematian remaja hamil secara holisitik, berkesan dan bersepadu.

Turut dipersetujui ialah Pelan Tindakan Aksesibiliti Orang Kurang Upaya (OKU) untuk disyorkan sebagai panduan dan rujukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menyediakan Pelan Tindakan Aksesibiliti kemudahan dalam dan luar bangunan serta ruang awam mesra OKU; dan Pemeliharaan Berasaskan Keluarga (PBK) untuk memberikan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak yang memerlukan.

Mesyuarat majlis itu turut membincangkan kertas makluman antaranya mengenai Dasar Komuniti Negara (DKN) untuk memperkasa komuniti setempat supaya terlibat secara aktif dalam usaha penyenggaraan dan pengurusan harta awam dan harta bersama.

Turut dibincangkan ialah pelaksanaan Program Ameniti Sosial (PAMS) supaya projek-projek kemudahan awam dapat dibuat secara lebih terancang dan bersepadu dan pelaksanaan Program-program Kepada Remaja Menggunakan Peruntukan Zakat bagi menangani isu sosial dalam kalangan remaja.

Turut dibincangkan pada mesyuarat itu ialah penyelarasan projek rintis Dasar Komuniti Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan projek “Balai Sepakat” yang diusahakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang saling melengkapi (complement) antara agensi kerajaan bagi memperkasa komuniti terutamanya di kawasan pinggir bandar.

Majlis Sosial Negara adalah platform untuk agensi-agensi kerajaan, ahli-ahli akademik dan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membentangkan cadangan bagi mengenal pasti isu dan masalah sosial serta mengenalpasti mekanisme penyelesaian untuk pembangunan sosial negara yang lebih sejahtera.

-- BERNAMA

Powered by Blogger.