Gadis tokan ditahan jual dadah


Seorang wanita tempatan ditahan bersama dadah heroin dan syabu di sebuah chalet, di Jalan Pantai Chenang di sini, Selasa lalu.

Ketika ditahan jam 3 petang, ‘tokan’ berusia 22 tahun itu berehat dalam bilik dipercayai menunggu pelanggan untuk mengedarkan bahan terlarang itu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata tangkapan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi hasil maklumat awam.

“Hasil pemeriksaan mendapati, suspek memiliki satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 50.12 gram (g).

“Turut ditemui satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan anggaran berat 0.12 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, ketika serbuan hanya suspek berada dalam bilik di chalet berkenaan.

“Suspek adalah penganggur. Ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis morfin. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.
Powered by Blogger.