Foodpanda diminta kembalikan pembayaran lama


Syarikat penghantar makanan dalam talian, foodpanda diminta mengembalikan skim pembayaran terdahulu bagi menyelesaikan kemelut antara pihak pengurusan dan penghantar mereka.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata ia kerana syarikat berkenaan didapati gagal membela kebajikan penghantar makanan, selain skim pembayaran baharu didakwa menindas golongan berkenaan.

Katanya, isu berkaitan skim bayaran baharu penghantar makanan foodpanda yang disifatkan tidak adil itu juga akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet, esok.

“Hasil dialog bersama penghantar makanan malam ini, didapati bertentangan dengan keputusan perbincangan bersama pengurusan foodpanda.

“Saya ada bertanya sama ada mereka (foodpanda) mengalami masalah kewangan tetapi pengurusan mereka menafikannya. Seterusnya mereka turut menyatakan penghantar akan mendapat gaji lebih besar melalui skim pembayaran baharu.

“Bagaimanapun, syarikat yang menjana pendapatan hingga ratusan juta ringgit ini gagal membela kebajikan penghantar makanan mereka. Malah, ‘market share’ mereka mencecah hampir 90 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi dialog bersama lebih 100 penghantar makanan foodpanda di kediamannya dekat Petaling Jaya di sini, malam ini.

Isu membabitkan penghantar makanan foodpanda tercetus selepas beberapa klip video dan foto tersebar sejak beberapa hari lalu, antara lain memaparkan mereka melancarkan mogok susulan pengenalan kadar baharu bayaran untuk pekerja.

Semalam, lebih 200 penghantar foodpanda dilaporkan mogok di ibu pejabat foodpanda Malaysia Sdn Bhd dekat Jalan Chan Sow Lin, di sini, sebagai membantah skim pembayaran baharu yang didakwa tidak adil.

Menerusi skim lama, penghantar menerima bayaran asas RM4 sejam selain insentif pesanan antara RM3 hingga RM5 bagi setiap pesanan, bergantung prestasi individu iaitu Batch 1 hingga 5 dengan Batch 1 menerima insentif tertinggi.

Bagaimanapun, menerusi skim pembayaran baharu, foodpanda menghapuskan bayaran asas jam bekerja sebaliknya meningkatkan insentif pesanan antara RM4.50 hingga RM7 untuk setiap pesanan.

Foodpanda turut menawarkan bonus RM100 seminggu jika penghantar dapat melengkapkan tempoh bekerja 60 jam seminggu, termasuk bonus tambahan RM1 bagi setiap pesanan yang dihantar jam 11 malam hingga 9 pagi.

Syed Saddiq berkata, pihaknya turut menerima maklum balas bahawa beberapa penghantar makanan menerima ugutan daripada pihak tertentu sekiranya menyertai mogok dan ia jelas bertentangan dengan undang-undang.

“Mereka (pengurusan foodpanda) bertanggungjawab ke atas pekerja (penghantar makanan) dan pelanggan mereka, selain boleh dihukum oleh pihak sama sekiranya tidak berlaku adil.

“Saya berharap gelombang dicetuskan kalian (penghantar makanan) boleh melakukan perubahan besar. Desakan kalian akan didengari selagi kita bersatu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai penyelesaian jangka panjang, kerajaan perlu menggubal undang-undang baharu bagi memantau kebajikan pekerja dalam bidang gig ekonomi. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.