Kewartawanan peranti sampaikan maklumat dengan cepat, meluas

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata kewartawanan peranti (mobile journalism) berupaya memenuhi penyampaian berita dan maklumat yang cepat dan disebar luas dengan segera.

Beliau berkata dalam konteks dunia tanpa sempadan ini, perlunya penyaluran berita yang lebih pantas dan tangkas ekoran masyarakat pada masa ini sentiasa dahagakan maklumat terkini.

“Penggunaan telefon pintar menggalakkan pembuatan kandungan kreatif yang merentas platform dan inovasi digital.

“Ini kerana ia digunakan untuk merakam, menyunting, dan menghasilkan foto, video, audio dan imej grafik yang boleh dimuat naik dengan segera ke dalam laman dan pelbagai platform media sosial bagi tujuan menyampaikan maklumat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Mobile Journalism (MOJO): Digital News In Your Hands, di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), hari ini.

Bagaimanapun, Gobind Sigh berkata penyampaian maklumat dan berita berkenaan tidak seharusnya berkompromi dari sudut etika kewartawanan.

“Dengan kata lain, semua orang boleh merakam dan menyampaikan berita, tetapi pelaporan tersebut perlulah mendokong etika kewartawanan dan sikap bertanggungjawab kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, Gobind Singh memuji pendekatan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang menggunakan pendekatan dan kaedah pelaporan berita melalui kewartawanan peranti.

“Pada bulan Januari lalu terdapat satu kejadian, sebuah kereta terjunam ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang dan semua tertarik dengan kaedah pelaporan secara live oleh wartawan Bernama ketika itu,” katanya.

Katanya, rentetan daripada itu, beliau telah menyarankan supaya IPPTAR bekerjasama dengan Jabatan Penerangan dan Bernama untuk menganjurkan seminar kewartawanan bagi mendedahkan wartawan kepada kaedah atau mekanisme baharu dalam melaporkan berita semasa.

Seminar selama sehari itu disertai 165 peserta daripada agensi dan jabatan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.  -- BERNAMA

Powered by Blogger.