Empat sekeluarga maut, Viva dirempuh treler terbabas


Empat sekeluarga yang maut berhampiran Bukit Mendi di Bera hari ini, dalam perjalanan ke Serting, Negeri Sembilan bagi menghadiri majlis pertunangan saudara.

Suami kepada Allahyarham Siti Zubaidah Abidin, Kamarulzaman Khamis, 45, berkata isteri dan anak bongsu mereka, Aqil Zikri Shah menumpang kereta adik iparnya kerana mahu tiba lebih awal di majlis tersebut.

"Saya sepatutnya menyusul kemudian kerana perlu menyelesaikan urusan kerja terlebih dahulu... tapi hampir 2 petang, saya menerima panggilan daripada keluarga memberitahu mereka maut kemalangan.

"Dugaan saya begitu berat pada bulan Syawal tahun ini, namun saya pasrah dengan ketentuan takdir kehilangan isteri dan anak serentak," katanya semasa ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini, hari ini.

Pada kejadian 1.35 petang tadi, Siti Zubaidah, 40, dan Aqil Ziqri Shah, 6, antara empat yang maut selepas kereta Perodua Viva dinaiki mereka terlibat kemalangan membabitkan sebuah lori treler tanpa muatan dan lori tiga tan.

Turut maut ialah adik Siti Zubaidah, Siti Rahmah, 33, dan suaminya Nor Amri Mohd Ali, 35, yang memandu, manakala adik ipar kepada Siti Zubaidah dan Siti Rahmah, Nor Shuhada Shukri, 29, parah di kepala dan masih dirawat di HOSHAS.

Kemalangan di Kilometer 51, Jalan Temerloh-Kemasul itu dipercayai berlaku apabila sebuah treler tanpa muatan yang dipandu lelaki berusia 39 tahun terbabas lalu melanggar lori di laluan bertentangan sebelum merempuh kereta mangsa yang berada di belakang.

Kamarulzaman yang bekerja sendiri berkata semua jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Bukit Puchong di Triang, Bera sebaik sahaja proses bedah siasat selesai.

Sementara itu, anak saudara Siti Zubaidah, Syakila Isa berkata mereka mula berkumpul di rumah neneknya di felda tersebut sejak Jumaat lalu, sempena Aidilfitri dan juga untuk bersama-sama berkonvoi ke Serting.

"Kami berkonvoi dua kereta, tapi kereta dinaiki Mak Cik Siti (gelaran Siti Zubaidah) bertolak lima minit lebih awal daripada kami. Kami terkejut bila melihat kereta mereka sudah terperosok di bawah treler bila tiba di lokasi kejadian.

"Saya, emak, nenek dan seorang saudara mengigil melihat keadaan itu. Ayah juga sudah tidak mampu untuk terus memandu selepas melihat keadaan mereka yang terperangkap dalam kereta," katanya.

Syakila berkata sepanjang 'berkampung' di rumah neneknya, Siti Zubaidah begitu gembira dan sibuk melayani permintaan makanan daripada sanak saudara, serta tidak membenarkan orang lain untuk memasak.

Malah, hari ini, arwah menyediakan nasi lemak sambal sotong untuk sarapan sebelum mereka semua bertolak ke Serting. - BERNAMA 
Powered by Blogger.