Majlis Dasar Inovasi Malaysia untuk pacu pertumbuhan industri teknologi - Gobind


Majlis Dasar Inovasi Malaysia (MIPC) yang ditubuhkan September lepas akan menjadi platform untuk sektor swasta mengesyorkan inisiatif-inisiatif teknologi digital, yang datang bersamanya cabaran-cabaran dasar dan peraturan, yang menghalang pertumbuhan inovasi ekonomi digital bagi negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata MIPC akan dipengerusikan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan disertai pakar-pakar industri, pakar inovasi berpengalaman dan pemula niaga, rakan kongsi pembiayaan yang memiliki reputasi baik dan agensi-agensi kerajaan lain seperti MaGIC, Cradle dan Futurise.

“Peranan mereka adalah untuk memberi nasihat, memudah cara dan penjajaran antara industri dan untuk mencadangkan dasar atau peraturan-peraturan yang sesuai untuk dilaksanakan.

“Sementara saya telah menjelaskan mengenai hasrat kerajaan untuk meningkatkan penerimaan digital dan membina ekosistem yang bertenaga dan mampan untuk para usahawan, kita juga memerlukan industri untuk meningkat dan menjadi rakan kongsi dalam proses ini,” kata beliau.

Gobind mengumumkan penubuhan MIPC itu semasa melancarkan HLX, hab inovasi pertama Malaysia di sini hari ini.

Terletak di Menara HLA di tengah-tengah Kuala Lumpur, HLX disokong oleh Hong Leong Group dan akan menjadi satu kemudahan sehenti bagi menemukan warga korporat dan pemula niaga di bawah satu sumbung untuk mempercepatkan inovasi dan memerperkukuh ekosistem bagi pemula niaga di Malaysia.

Gobind berkata kerajaan mahu badan korporat dan industri mempromosi, melabur dan bersatu dalam memastikan penerimaan digital yang meluas bagi memberi lebih dorongan kepada ekosistem pemula niaga untuk memacu inovasi.

Beliau turut menyatakan bahawa kunci utama untuk mempertingkatkan ekonomi digital Malaysia ialah dengan memacu pertubumbuhan pemula niaga teknologi digital dan keusahawanan negara di mana di seluruh dunia pemula niaga dan para usahawan adalah jantung kepada ekonomi baharu.

Gobind berkata usahawan digital memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi.

“Mereka bersifat inovatif dalam pendekatan mereka, menanam persaingan sihat sesama perniagaan; mereka juga mewujudkan lebih banyak pekerjaan, yang bermakna lebih banyak peluang pekerjaan dan ekonomi yang lebih baik untuk negara,” kata beliau.

Ketika kerajaan sedang menggubal dasar-dasar dan peraturan yang akan menggalakkan inovasi, Gobind menekankan bahawa mereka harus menyelaraskan usaha-usaha dengan sektor swasta untuk mencapai persekitaran yang lebih kondusif bagi semua pemula niaga dan usahawan untuk berkembang maju.

“Kami amat yakin perkongsian sektor swasta dan awam (Private-Public Partnerships-PPP) akan memperkukuh sektor teknologi dan akhirnya menstransformasi Malaysia menjadi sebuah ekonomi yang dipimpin inovasi,” kata beliau.

Gobind berkata HLX adalah hasil daripada PPP dan beliau menggesa semua pemain daripada sektor swasta untuk mengikut jejak langkah itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri amat yakin MIPC akan mendorong perkongsian lebih bersinergi antara sektor awam dan swasta.

Beliau berkata MIPC terdiri daripada dua jawatankuasa - Jawatankuasa Penyelarasan Industri yang meliputi bidang-bidang kolaborasi industri berhubung inisiatif-inisiatif Teknologi Digital manakala Jawatankuasa Campur Tangan pula memfokus hanya kepada campurtangan terhadap dasar dan peraturan.

“MIPC mempelawa syarikat-syarikat teknologi, para pelabur dan pemain industri yang relevan untuk berkongsi pandangan dan menawarkan cadangan-cadangan untuk mempercepatkan inovasi dan pertumbuhan syarikat-syarikat teknologi, yang berkisar kepada dasar kebangsaan dan caj-caj perngawalseliaan,” kata beliau dalam satu kenyataan. -- BERNAMA
Powered by Blogger.