Mahathir temui pemimpin-pemimpin tertinggi China, saksi majlis tandatangan MoU dan perjanjian


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi China, sekaligus mencerminkan hubungan duahala yang kukuh antara dua negara.

Dr Mahathir yang tiba di sini semalam menemui President Xi Jinping, Perdana Menteri Li Keqiang dan Presiden Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat, Li Zhanshu.

Pemimpin berumur 94 tahun yang berada di sini untuk lawatan kerja lima hari serta menghadiri Forum “2nd Belt and Road Forum for International Cooperation”, menemui Presiden Xi di ‘Great Hall of People’, dan beliau turut mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat duahala dengan Xi.

Forum berhubung inisiatif “Belt and Road” China yang dijangka menarik penyertaan kira-kira 40 pemimpin global serta ratusan perwakilan itu akan dirasmikan oleh Xi esok.

Terdahulu Dr Mahathir bertemua dan mengadakan mesyuarat duahala dengan Perdana menteri Li di Rumah Tetamu Negara Diaoyutai di sini hari ini.

Turut hadir dalam mesyuarat duahala dengan XI dan Li adalah Menteri Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Turut hadir dalam mesyuarat dua hala ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Selepas mesyuarat Dr Mahathir dan Li menyaksikan majlis menandatangani dua Memorandum Persefahaman berhubung usaha meningkatkan kerjasama mengenai minyak sawit antara Malaysia dan China serta pembangunan taman-taman perindustrian serta hub logistik yang berkaitan dengan Projek Laluan Rel Pantai Timur di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Perjanjian mengenai pengembalian semula bandar Malaysia turut ditandatangani.

Perdana Menteri turut menemui Zhanshu dan mengadakan mesyuarat dua hala bersama delegasinya. -- BERNAMA
Powered by Blogger.