Agro Mall FAMA pertama di Puchong tahun ini


Sebuah pasar raya yang menjual pelbagai produk dan hasil pertanian dijangka dibuka tahun ini dengan fokus kepada meningkatkan hasil jualan industri pertanian dan perladangan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata pembukaan pasar raya pertama di Puchong itu adalah lanjutan kepada usaha kerajaan memasarkan hasil pertanian menerusi pembukaan Pasar Tani dan Agrobazar.

Beliau berkata, majlis pecah tanah pasar raya itu akan dilakukan bulan ini dan dijangka siap pada hujung tahun atau tahun depan.

“Kita sudah ada Pasar Tani dan Agrobazar. Saya sendiri cakap hujung tahun lepas supaya FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) ada satu lagi ‘baby’ (lokasi pemasaran baru).

“Jadi, kita kena fokus kepada pasar raya pula. Ketua Pengarah (FAMA) kata upacara pecah tanah pada April. Tanah (tapak pasar raya) di Puchong. Kalau tiada apa yang menghalang, kita akan dapat saksikan sebuah Agro Mall FAMA pada tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Usahawan Bimbingan FAMA, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tahun lalu, FAMA berjaya menjana hasil jualan sebanyak RM2.9 bilion diperoleh dari 2,755 outlet pemasaran yang membabitkan 70,000 usahawan mereka.

“Kita masih tidak puas hati (dengan jualan diperoleh) tetapi ia sudah menunjukkan kemajuan yang agak ketara kerana golongan (usahawan tani) ini membesar dan harus diberikan galakan oleh kerajaan dan FAMA.

“Kita sasarkan ada peningkatan 10 peratus daripada apa yang kita peroleh sekarang (jualan RM2.9 bilion), sasaran itu saya rasa realistik dan praktikal,” katanya.

Ditanya mengenai konsep koperasi yang dicadangkan FAMA, Salahuddin berkata, ia baik dalam merangsang peningkatan hasil dan pendapatan petani terutama di kawasan luar bandar atau yang memiliki tapak tuaian pertanian yang kecil.

“Kita akan lihat kalau ia satu perkara yang dirasakan perlu dan praktikal, kita akan bantu. Memang konsep koperasi ini baik tetapi mesti diurus dengan tersusun supaya ia dapat benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat.

“Saya lihat macam petani kita yang ada tanah pertanian satu ekar atau dua ekar, dia pemain kecil. Dengan konsep koperasi, kita boleh mengurus supaya kebun ini boleh diperbesarkan lagi,” katanya. - Berita Harian
Powered by Blogger.