MKN selaras spesifikasi teknikal pagar sempadan Malaysia-Thai


Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyelaras spesifikasi teknikal cadangan pembangunan pagar sempadan antara Malaysia-Thailand, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata MKN akan melihat berdasarkan keperluan strategik negara dan implikasi kewangan yang terlibat dalam pembangunan pagar berkenaan.

Katanya, pembinaan pagar sempadan atas garisan sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand telah dipersetujui bersama kedua-dua negara dalam Mesyuarat ke-25 “Land Boundary Committee” yang dipengerusikan pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia pada 31 Julai hingga 2 Ogos tahun lalu.


"Keahlian jawatankuasa kerja di peringkat Malaysia telah disempurnakan manakala di peringkat negara Thailand pula akan dimuktamadkan setelah pilihan raya umum negara tersebut selesai," katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) yang ingin tahu sama ada kerajaan telah memutuskan untuk membina tembok sempadan dari Perlis ke Kelantan.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah mengakui pembinaan pagar sempadan melibatkan kos yang tinggi.

"Kita ada pagar yang dipersetujui bersama, kita telah bina, (bagi) satu kilometer, kita membelanjakan RM1 juta. Jadi sempadan ini kalau dikawal dengan mekanisme lain juga kita akan tingkatkan," katanya.

Sempadan Malaysia-Thailand dianggarkan sepanjang 656km namun hanya 111km sahaja yang berpagar. - Bernama

Powered by Blogger.