Bank Maya pertama dijangka akan diperkenalkan pada suku ketiga 2020
Kalangan penggiat industri teknologi kewangan (fintech) optimis terhadap kemampuan Malaysia untuk memulakan revolusi perbankan maya termasuk memperkenalkan bank seumpamanya atau bank neo seawal suku ketiga 2020.
Ini susulan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini yang menyasarkan untuk mengeluarkan keperluan lesen perbankan maya menjelang akhir tahun ini.
Menurut Persatuan Fintech Malaysia (FAOM), rasa optimis itu berdasarkan pengalaman daripada pelbagai bidang kuasa lain, perkongsian maklumat daripada lebih 50 bank maya sedia ada serta minat pelbagai pihak dalam industri itu.
“Kami percaya BNM menekankan kepentingan untuk mewujudkan industri perbankan yang moden, inovatif dan dipacu teknologi namun pada masa sama matang dan diuruskan oleh sumber berpengalaman. Malah, inilah antara komponen utama bagi ekonomi digital Malaysia serta ciri untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi," demikian menurut FAOM dalam e-mel kepada Bernama hari ini.
Ditanya kewajaran BNM memperkenalkan peraturan itu menjelang akhir 2019, persatuan itu menyokong tindakan itu kerana Malaysia perlu meningkatkan usaha agar seiring dengan Eropah, Amerika Syarikat (AS), Australia serta Hong Kong yang meluluskan penubuhan bank neo itu di peringkat masing-masing.
“Ya sudah tiba masanya untuk bank pusat itu mengambil langkah itu dengan mengambil kira aspek kematangan dan pemahaman teknologi perbankan BNM serta kemampuan bakat fintech Malaysia yang menjadi pemangkin bagi agenda ekonomi digital negara.
“Malah, sejajar peranan Malaysia sebagai peneraju dalam industri kewangan Islam, khususnya aspek kematangan pengawalseliaan dalam sektor terbabit, Malaysia dijangka mempunyai bank maya Islam pertama menjelang tahun depan kerana memiliki bakat, pengalaman dan sumber terbaik."
Mengulas masa depan bank-bank tradisional di negara ini berikutan kepesatan perubahan serta inovasi teknologi, FAOM menyatakan, usaha kelangsungan itu memerlukan perubahan minda bank tersebut agar lebih terbuka kepada kolaboratif bagi kemudahan bersama serta menerusi perkongsian penting dengan firma fintech.
"Kedua, bank-bank tradisional ini perlu memperkemas semula teknologi masing-masing yang sedia ada bagi menguruskan isu legasi yang juga antara halangan utama bagi menerima teknologi yang lebih baik.
“Ketiga, mereka perlu mengubah model perniagaan mereka agar lebih tangkas, berteraskan mudah alih dan seiring dengan kepesatan kemajuan teknologi dan inovasi yang serba pantas," katanya.
Malah, FAOM turut menyifatkan dua bank maya yang diluluskan di Hong Kong baru-baru ini sebagai bukti kukuh jalinan kerjasama antara bank tradisional dan penggiat fintech.
Firma fintech itu juga membuktikan bahawa mereka dapat mewujudkan bank maya tanpa pembabitan bank-bank tradisional sepertimana dilakukan bank yang berpangkalan United Kingdom - Atom Bank dan Moven di AS.
Sementara itu, Pengarah Urusan Frost and Sullivan Malaysia merangkap Naib Presiden Kanan bagi rantau Asia Pasifik, Hazmi Yusof pula yakin perbankan maya tidak akan menjejaskan sektor perbankan tradisional kerana akan menjadi yang pertama melaksanakan teknologi perbankan digital semata-mata berikutan keyakinan pasaran selain mendapat sokongan pihak berkuasa.
“(Namun) masih ada rakyat Malaysia yang bersifat tradisional dan mahukan semua transaksi dilakukan secara bersemuka di kaunter," katanya.
Atas alasan itu, Hazmi juga yakin bank tradisional yang melaksanakan teknologi perbankan maya akan memiliki kelebihan berbanding bank maya sepenuhnya.
“Bukan sesuatu yang mudah bagi pihak bank maya baharu kerana perlu menyediakan pengalaman pelanggan yang lebih baik selain menawarkan perkhidmatan lebih bernilai tambah., namun sasaran utama bank maya ini ialah golongan millennial cekap teknologi, yang akan menggunakan perkhidmatan perbankan mereka selain platform sosial dan gaya hidup,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata syarikat multinasional (MNC) serta perusahaan kecil dan sederhana juga menjadi sasaran bank maya atas faktor kecekapan kos, fleksibiliti serta kepantasan.
“MNC akan mempertimbang aspek yang menggalakkan ini, terutama jika perbankan maya dapat memacu penurunan kos, seperti melibatkan urus niaga pertukaran wang asing, dan sekali gus memberi kesan limpahan kepada rantaian bekalan global,” katanya.
Justeru itu, Hazmi yakin pewujudan bank maya ini tidak dapat dielakkan malah akan meningkatkan persaingan dalam industri perbankan runcit tradisional, memandangkan peserta perbankan akan menitikberatkan langkah mengurangkan perbelanjaan mereka ke atas infrastruktur fizikal seperti cawangan dan tenaga kerja.
FAOM yang turut senada dengan Hazmi berkata, bank di Malaysia telah mengurangkan ruang pejabat dan jumlah cawangan sejak lima tahun lepas kerana perkhidmatan perbankan telah mencapai kemajuan ketara dengan kebangkitan perbankan Internet dan mudah alih yang secara langsung mengurangkan keperluan perkhidmatan bersemuka.
“Sebagai contoh, CIMB Bank dan Maybank telah menutup dan mengurangkan jumlah cawangan masing-masing sejak 2016 serta menyalurkan sumber untuk menumpukan perkhidmatan digital.
“Bank lain, seperti Public Bank, RHB Bank dan Bank Islam, juga tidak membuka cawangan baharu sebaliknya lebih menekankan pengoptimuman cawangan sedia ada dengan cadangan pengurangan sama ada ruang pejabat atau jumlah cawangan,” menurut FAOM.
Selain itu mengenai kebimbangan terhadap keselamatan siber, privasi data dan kesediaan industri perbankan ke arah bank digital sepenuhnya, FAOM berkata pengumuman BNM untuk membenarkan perbankan maya akan merancakkan lagi usaha peserta industri memenuhi keperluan segmen baharu ini.
“Ini akan memangkin kelajuan Internet dan peningkatan keupayaan dalam menguruskan risiko berkaitan keselamatan siber dan provasi data bagi pihak berkepentingan utama seperti pelanggan, pengawal selia, penyedia perkhidmatan dan pelabur untuk menerima guna perbankan digital.
“Bukan satu anjakan paradigma yang boleh berlaku sekelip mata bagi Malaysia melancarkan perbankan digital tetapi lebih menjurus kepada peralihan berstruktur daripada apa yang kita ada hari ini kepada perkhidmatan hibrid, dan akhirnya penawaran digital sepenuhnya akan berlaku dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” menurut persatuan itu.
Bagaimanapun, Hazmi berpendapat bahawa kebimbangan keselamatan, termasuk pelanggaran data, pemalsuan identiti dan kerahsiaan maklumat peribadi, akan kekal menjadi keutamaan paling penting bagi pengguna bank maya.
“Ia masih akan berlaku namun saya yakin berasaskan rangka kerja dan penguatkuasaan berkesan, kebimbangan mengenai keselamatan ini akan boleh diuruskan,” katanya.
Merujuk Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2019 yang dikeluarkan BNM pada Rabu, nilai monetari transaksi kewangan perbankan mudah alih telah meningkat sekali ganda kepada RM100.1 bilion tahun lepas daripada RM50.7 bilion pada 2017 manakala jumlah transaksi melonjak kepada 257.4 juta daripada 107.7 juta.
Pertumbuhan transaksi itu dipacu oleh peningkatan pelanggan perkhidmataan perbankan mudah alih sebanyak 2.2 juta kepada 6.6 juta pada 2018, daripada 4.4 juta pada tahun sebelumnya. - BERNAMA
Post a Comment