Agong berkenan menyaksikan air pancut berirama tebingan Sungai Kuching
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menyaksikan pertunjukan air pancut berirama di Tebingan Sungai Kuching. di sini, malam ini.
Turut mengiringi keberangkatan baginda yang tiba di Tebingan Sungai Kuching pada jam 10.30 malam ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Prof. Datuk Dr. Sim Kui Hian dan isteri, Datin Enn Ong Ean.
Baginda berdua meluangkan masa selama kira-kira 15 minit menyaksikan pertunjukan itu.
Terdahulu, baginda berdua berkenan mengadakan sesi fotografi kenangan bersama Tuan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib serta barisan menteri kabinet Sarawak yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Seterusnya baginda berdua menerima sembah cendera kenangan berupa kain songket asli Sarawak dan rantai manik dan batuan berasal dari kaum Orang Ulu yang dipersembahkan kepada baginda sebelum menghadiri Majlis Santapan Malam di sebuah hotel di sini.
Esok, Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat ke Kompleks Islam Sarawak di sebelah pagi sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Darul Hana, Petra Jaya.
Ini adalah lawatan sulung baginda berdua ke Sarawak setelah Sultan Abdullah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan lepas. -- BERNAMA
Post a Comment