Nor Farhatul juara dunia baca al-Quran, pancing hati remaja


Kelunakan suara Nor Farhatul Fairuzah Panut mendendangkan lagu Arab, Biridak dan mengalunkan surah at-Takathur dengan taranum rast cukup memukau dan kejayaan hebatnya mampu memberi inspirasi dalam kalangan remaja mencintai al-Quran.

Meskipun baru mencecah usia 19 tahun, ternyata gema suaranya yang diperdengarkan untuk rakaman khas BH Online yang berlangsung di lobi hotel penginapannya sepanjang menyertai Tilawah dan menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 (MTHQA61), tidak dapat dipertikaikan lagi kelunakannya sehingga ada pengunjung menoleh ke arah gadis manis itu.

Johan qariah MTHQA61 baru-baru ini yang kini ‘trending’ gemar mendendangkan lagu Arab ketika masa lapang sejak berusia 14 tahun.

Mendalami pengajian al-Quran dan sering berkongsi minatnya itu menerusi Instagram sehingga berjaya menarik perhatian netizen dengan pengikutnya berjumlah hampir 100,000, terutama remaja yang berminat mahu mengetahui mengenai seni taranum secara lebih dekat.

Nor Farhatul Fairuzah, berkata sejak kemenangannya itu, ramai remaja mahupun orang dewasa menunjukkan minat terhadap seni Islam itu sehingga ada kalangan mereka menghantar rakaman video bacaan al-Quran untuk disemak tajwid atau taranum yang dilagukan.

“Saya gemar menyanyi lagu Arab bukan sekadar untuk menghiburkan diri tetapi untuk belajar lenggok pertuturan bahasa mereka, seterusnya meningkatkan mutu sebutan ayat ketika membaca al-Quran.

“Antara penyanyi lagu Arab yang saya minati ialah Umm Kulthum, pencipta lagu dan aktres popular Mesir yang terkenal dengan lagu klasik Arab sejak 1920 sehingga 1970-an,” katanya.

Disebabkan itu juga beliau mendapat jolokan Umm Kulthum Malaysia dalam kalangan peminatnya.

Ternyata, Nor Farhatul Fairuzah mencetus fenomena baharu dalam dunia remaja Islam di negara ini yang mendorong lebih ramai anak muda mengenali seni membaca ayat suci, termasuk menonton tilawah al-Quran.

Berdasarkan reaksi warga net yang semakin tular selepas kemenangannya, beliau berjaya mendorong minat golongan itu melekat di depan televisyen untuk menonton program berkaitan.

Malah ada remaja yang mengakui tidak pernah mengetahui mengenai majlis tilawah berkenaan sehingga kemenangan Nor Farhatul Fairuzah ditularkan, baru-baru ini.

Seperti remaja lain, Nor Farhatul Fairuzah mengakui pernah meminati selebriti Korea, bagaimanapun minat itu terpaksa dilupakan untuk memberikan tumpuan kepada bacaan al-Quran dan minatnya dalam seni unik berkenaan.

Berkisar rentetan itu, beliau berkata, sejak kecil, pelajar Tingkatan Enam (Atas) jurusan Syariah Sekolah Menengah Agama Perempuan Labu, Negeri Sembilan itu sudah mengamalkan membaca al-Quran sebelum ke sekolah mahupun sebelum keluar bermain bersama rakan sebaya.

Walau terlewat sekalipun ke sekolah, beliau, empat kakak serta abangnya perlu memenuhi rutin harian membaca al-Quran yang ditetapkan ibu bapanya.

Ternyata berkat asuhan secara konsisten itu, Nor Farhatul Fairuzah, berjaya muncul sebagai johan qariah MTHQA ke-61 yang sertai 74 peserta dari 41 negara serta paling muda dalam kalangan qariah.

“Sejak berusia lima tahun lagi, kami didedahkan dengan seni taranum. Saya sudah menguasai tujuh jenis taranum yang diajarkan berdasarkan silibus direka sendiri oleh ibu.

“Antara taranum yang saya gemari, Nahawand, Rast, Hijaz dan Bayyati selain Soba, Jiharkah dan Sikah dan walaupun sudah mempelajari seni taranum ini, saya sentiasa berusaha memperbaiki bacaan supaya lebih sempurna,” katanya.

Gadis kelahiran Klang ini membaca al-Quran selama 15 minit selepas solat sebagai amalan dan usahanya mempelajari ilmu berkenaan.

Anak bongsu daripada lima beradik itu, berkata beliau tiada petua khusus untuk menjaga kelunakan suaranya tetapi mengelak minuman berais, makanan berminyak dan terlalu pedas untuk menjaga suara sebelum menyertai pertandingan.

Selain latihan bersama ibunya, Jaliah Simin, Nor Farhatul Fairuzah sanggup menjelajah ke seluruh negeri untuk menimba ilmu bacaan al-Quran dan taranum daripada mantan johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa di Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Kelantan.

“Saya akan manfaatkan ilmu itu untuk panduan hidup. Saya sentiasa bersedia berkongsi ilmu itu supaya memberi inspirasi kepada remaja lain.

“Cuma saya harapkan, lebih ramai anak muda gunakan ilmu ini sebagai terapi diri, kerjaya dan panduan hidup. Seperti saya, rasa kosong tanpa membaca al-Quran. Bacalah ilmu ini selagi ada masa,” katanya.

PROFIL

Nama: Nor Farhatul Fairuzah Panut

Umur: 19 tahun

Tarikh Lahir: 19 Mei 2000

Asal: Klang, Selangor

Pendidikan : Pelajar Tingkatan Enam (Atas) jurusan Syariah Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan; Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi, Sekolah Rendah Sungai Rawang

Cita-cita: Mahu mengikuti pengajian al-Quran di Dubai atau Istanbul. Menjadi pensyarah dan membuka kelas pengajian taranum

Nama Ayah dan Ibu : Allahyarham Panut Markum dan Jaliah Simin

Trivia

---------

* Mula belajar al-Quran dan taranum pada usia 5 tahun

* Mula menyertai pertandingan tilawah pada usia 7 tahun

* Amalan membaca al-Quran setiap kali selesai solat fardu

* Amal baca al-Quran 15 minit selepas solat untuk ‘lunakkan’ suara.

Pencapaian

* Juara Majlis Tilawah dan menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61.

* Juara Tilawah Al Quran Peringkat Kebangsaan 2014, 2015, 2016 dan 2017.

* Johan Tilawah Sekolah Rendah Pulau Pinang 2011

* Tokoh Kokurikulum Sekolah Peringkat Negeri dan Kebangsaan.

Sumber: BERITA HARIAN

Powered by Blogger.