Helikopter dalam latihan penerbangan


Kedua-dua helikopter yang bertembung sebelum satu terhempas di Jalan Taman Melawati di sini, dalam latihan penerbangan.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha, berkata kedua-dua helikopter dari syarikat sama, My Heli Club berpangkalan di Subang.


"Maklumat awal mengatakan kedua-dua helikopter sedang dalam penerbangan latihan dari Subang ke Genting Sempah.


"Ada maklumat mengatakan berlaku pertembungan kedua-dua helikopter di udara, sebelum sebuah terhempas," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.


Mohamad Farouk berkata, polis menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 12 tengah hari, sebelum mendapati satu helikopter terhempas dan satu lagi selamat mendarat.


"Jurulatih penerbangan, Leftenan Kolonel (B) Mohd Sabri Baharon, 56, dan pelatih, Mohd Irfan Mohamed Rawi, 41, disahkan meninggal dunia dan jenazah kedua-duanya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.


"Satu lagi helikopter selamat mendarat di padang sekolah berhampiran," katanya.


Difahamkan, helikopter yang mendarat dengan selamat dikendali bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airliens, Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan rakannya, Tan Chai Eian, 51, dan kedua-duanya dilaporkan cedera ringan.


Mohamad Farouk, berkata kedua-dua helikopter yang terbabit dalam nahas itu boleh memuatkan seorang juruterbang dan seorang penumpang.


"Kita kini menunggu laporan penuh siasatan berhubung punca kemalangan yang akan dijalankan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).


"Kematian kedua-dua mangsa dalam kejadian itu buat masa ini diklasifikasi sebagai kematian mengejut," katanya. - BERITA HARIAN

Powered by Blogger.