JASA tidak bermotif politik, peruntukan kerajaan untuk fungsi, peranan
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memberi jaminan penubuhan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) akan dianggotai pasukan yang tidak langsung bermotifkan politik dan peruntukan yang disediakan kerajaan kepada agensi itu akan dimanfaat bagi melaksanakan fungsi serta peranannya dengan berkesan.
Menurut KKMM, ia diberi tanggungjawab menerajui penubuhan semula JASA yang bertindak sebagai agensi penyebaran maklumat dan komunikasi secara tersusun, strategik serta bersasar mengikut keperluan semua lapisan dan segmen masyararakat, yang mana tanggungjawab itu menjadi amat penting dan kritikal ketika negara sedang menghadapi ancaman pandemik COVID-19.
KKMM dalam satu kenyataan hari ini menyebut bahawa JASA sebagai agensi kerajaan yang mendukung prinsip Rukun Negara juga berperanan mewujudkan sebuah negara bangsa yang bersatu padu melalui penyebaran maklumat tepat dan sahih kepada masyarakat.
"Penyebaran berita-berita palsu yang memecah-belahkan keharmonian masyarakat juga merupakan antara cabaran besar yang dihadapi oleh masyarakat majmuk kita hari ini," menurut KKMM yang memahami keresahan rakyat berhubung fungsi JASA sebelum ini yang mungkin tidak dilaksanakan sebagaimana ditetapkan semasa pentadbiran terdahulu.
Menurut kenyataan itu, peruntukan JASA dalam Belanjawan 2021 adalah bagi pengambilan lebih ramai kakitangan untuk ditempatkan di semua negeri dan daerah seluruh negara, pembangunan modul dan latihan kompetensi kakitangan serta melengkapkan keperluan prasarana digital untuk menyebarkan maklumat dalam pelbagai bentuk komunikasi secara berkesan kepada semua lapisan masyarakat.
Selain itu, ia melibatkan kos operasi bagi menggerakkan kakitangan khususnya ke kawasan yang jauh dan terpencil di seluruh negara serta kos lain yang diperlukan dalam penubuhan sebuah agensi baharu.
Sebelum ini, peruntukan kira-kira RM81 juta kepada JASA menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 Nov lepas mendapat kritikan beberapa pihak.
Menurut KKMM, segala perbelanjaan JASA adalah tertakluk kepada peraturan kewangan kerajaan yang akan diaudit dan sudah tentu peruntukan yang disediakan kerajaan akan dimanfaat untuk melaksanakan fungsi dan peranan agensi itu dengan berkesan.
"Peruntukan ini juga secara langsung akan memberi peluang pekerjaan di samping menggiatkan ekonomi yang memberi manfaat kepada pihak penyedia perkhidmatan dan pekerja secara keseluruhannya," katanya.
JASA akan melaksanakan pengambilan pegawai serta kakitangan yang berkelayakan dan latihan untuk melahirkan pengamal komunikasi berkemahiran terutama dalam media sosial dan digital bagi menyebarluaskan maklumat penting untuk mendidik dan membudayakan norma baharu dalam kalangan masyarakat.
Katanya JASA juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh termasuk pemimpin masyarakat sivil dan komuniti setempat untuk mendapatkan input penting yang konstruktif bagi pembinaan negara bangsa.
-- BERNAMA
Post a Comment