Wanita maut rawatan kecantikan: Kertas siasatan diserah kepada TPR


Polis sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes seorang wanita maut selepas menerima rawatan di sebuah pusat kecantikan kendalian dua beranak di Cheras, kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata kertas siasatan itu dirujuk kepada TPR dengan cadangan pendakwaan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.


"Kertas siasatan diserahkan kepada pejabat TPR pada jam 10 pagi tadi, untuk kajian lanjut sebelum keputusan dikeluarkan.


"Pada masa sama, pegawai penyiasat Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan siasatan dan akan merujuk Bahagian Pendakwaan KKM untuk keputusan lanjut, hari ini.


"Dua beranak terbabit akan diberi jaminan polis selepas reman tiga hari ke atas mereka berakhir hari ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, dilaporkan berkata dua beranak berusia 49 dan 23 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.


Difahamkan, mangsa mengunjungi pusat kecantikan di Cheras itu pada jam 2.30 petang Ahad lalu.


Siasatan awal polis mendapati pusat kecantikan itu berdaftar secara sah, namun tidak mempunyai tauliah untuk melakukan proses sedut lemak.


Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital selepas dilapor tidak sedarkan diri ketika prosedur menyedut lemak dilakukan.


Sumber: Berita Harian

Powered by Blogger.