Tarikh dilanjut 9 Jun


Dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin Siti Nurhaliza atau Dana PKP Siti Nurhaliza yang sepatutnya berakhir Jumaat lalu dilanjutkan sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat pada 9 Jun ini.

Siti berkata, keputusan itu dibuat selepas dana yang dilancarkan pada 15 April lalu terus mendapat sokongan masyarakat untuk menyumbang.

"Saya terpanggil melanjutkan dana ini kerana saya dapat menyaksikan bagaimana penyumbang masih menderma dan saya kira ini sudah menjadi rutin harian kepada individu tertentu.

"Saya juga berasa sedikit hiba apabila dana ini akan berakhir kerana mahu dana ini menjadi ruang kita beramal pada Ramadan ini. Apatah lagi pada 10 malam terakhir ini sehinggalah PKPB tamat 9 Jun ini," katanya.

Siti yang baru muncul menerusi lagu Basyirah berkata, dia juga akan meneruskan dana ini tanpa menetapkan sebarang tarikh bila ia akan ditutup.

"Jika PKPB dilanjutkan, dana ini juga akan diteruskan dan saya tidak meletakkan tarikh tertentu lagi. Jika diteruskan sampai bila-bila juga, saya turut berbesar hati untuk kita sama-sama memanfaatkan kerja amal ini.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada semua penyumbang dan penaja untuk dana ini. Semoga segala kebaikan anda akan mendapat ganjaran sebaik-baiknya," katanya.

Dalam pada itu, 2,000 set Peralatan Perlindungan Diri (PPE) sudah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan menerusi kategori Peduli pada 30 April lalu.

Seterusnya, Siti bersama Yayasan Nurjiwa menerusi kategori sama menyerahkan PPE kepada Hospital Serdang dan Hospital Kuala Lumpur (HKL), baru-baru ini.

"Terima kasih kepada setiap syarikat, orang perseorangan atau sesiapa saja yang bersama-sama dalam usaha ini. Apa jua yang kita lakukan dan bermanfaat untuk orang lain, insya-Allah ada ganjaran yang terbaik buat kita semua. Teruskan menderma di Dana PKP Siti Nurhaliza ini. Semoga usaha kita akan mendapat keberkatan daripada-Nya," katanya.

Sehingga kini, dana itu sudah mengumpul RM267,000.

Berkongsi mengenai single terbaharunya, Basyirah, Siti gembira apabila ia mendapat sambutan menggalakkan sekali gus berada di kedudukan teratas carta iTunes selama beberapa hari selepas ia dilancarkan pada 8 Mei lalu.

"Terima kasih pada semua yang sudah mendengar lagu ini. Terima kasih juga pada YouTubers dari luar negara yang membuat video reaksi lagu ini. Lagu ini simbol harapan buat kita semua sesuai dengan tajuknya Basyirah yang bermaksud 'khabar gembira'," katanya. - HARIAN METRO
Powered by Blogger.