Seludup dadah dalam pen guna kurier


Jabatan Kastam Diraja Malaysia menggagalkan cubaan lelaki warga asing menyeludup dadah jenis methamphetamine ke luar negara menggunakan perkhidmatan kurier.


Suspek berusia 35 tahun menggunakan helah dengan mengikrar kandungan kotak yang ingin dihantar ke sebuah negara di Asia Timur sebagai alat tulis, untuk mengelirukan pihak berkuasa.


Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Johari Alifiah, berkata suspek ditahan kira-kira jam 3.30 petang Jumaat lalu ketika sedang berurusan di kaunter perkhidmatan kurier di Sentul, dekat sini.


Susulan itu, katanya kotak yang diikrarkan sebagai alat tulis itu dirampas dan hasil pemeriksaan mendapati ia mengandungi bahan kristal jernih dipercayai dadah jenis methamphetamine.


"Dadah berkenaan disorok dan diisi dalam pen penanda pelbagai warna, dengan anggaran berat kasar keseluruhan 854 gram.


"Siasatan awal mendapati kotak itu akan dihantar sebuah negara di Asia Timur dan nilai rampasan dianggarkan RM34,160," katanya melalui kenyataan hari ini.


Johari berkata, lelaki warga asing itu ditahan reman selama tujuh bermula Sabtu lalu hingga 30 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan rotan tidak kurang 15 sebatan. - Berita Harian

Powered by Blogger.