Malaysia perlu 28 hari sifar kes sebelum isytihar bebas COVID-19 - KP Kesihatan


Malaysia memerlukan tempoh 28 hari sifar kes COVID-19 sebelum boleh diisytiharkan bebas pandemik berkenaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. 

Beliau berkata ia selaras dengan mekanisme menamatkan pantauan terhadap sesuatu kluster iaitu dua kali kitaran tempoh inkubasi kebolehjangkitan virus tersebut. 

"Kalau kita lihat, untuk kita tamatkan satu kluster, kita gunakan tempoh 28 hari, jadi kita akan gunakan tempoh tersebut sebagai penanda aras kita bebas jangkitan itu," katanya dalam sedang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini. 

Menurut laporan media antarabangsa, semalam New Zealand mengisytiharkan negara itu bebas COVID-19 selepas 17 hari tidak terdapat kes baharu di negara itu. 

Bagaimanapun negara itu masih menutup pintunya kepada pelancong asing. 

Sementara itu, bagi mengelak penularan dalam bas ekpres dan pengangkutan awam berkapasiti penuh, kaedah saringan sebelum menaiki pengangkutan awam dan penggunaan aplikasi boleh diguna pakai. 

"Yang penting sekarang ini ialah saringan sebelum menaiki bas, kedua ialah menggunakan aplikasi yang kita dapat kesan siapa yang duduk sebelah, depan dan belakang, tetapi yang kita risau ialah mereka yang bersesak, tetapi kalau kita boleh pastikan siapa yang duduk mana dan itu kaedah yang boleh dikenal pasti, " katanya. 

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini berkata semua pengangkutan awam, bas ekspres, pesawat penerbangan, perkhidmatan e-panggilan, teksi dan kenderaan persendirian kini dibenarkan beroperasi pada kapasiti penuh dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Mengenai peniaga Pasar Jalan Raja Bot, di ibu negara yang perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum dibenarkan berniaga, Dr Noor Hisham berkata mereka kini perlu melakukan saringan di makmal-makmal swasta.

Jelas beliau, Pejabat Kesihatan Daerah Titiwangsa sudah enam kali menjalankan saringan di lokaliti itu bermula 23 April hingga 12 Mei dan katanya ada peniaga yang menolak untuk disaring kerana tidak berniaga sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Daripada 6,477 saringan yang dijalankan sebanyak 83 kes positif dikesan melibatkan 18 warganegara dan 65 bukan warganegara. 

“Saringan tidak lagi dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  selepas tamat tempoh jangkitan.

“KKM akan hanya buat saringan sekiranya terdapat keperluan untuk kawalan wabak,” katanya. 

Sementara itu, mengulas mengenai permintaan komuniti orang kurang upaya (OKU) supaya kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan semula operasi perkhidmatan refleksologi, Dr Noor Hisham berkata KKM sedang memperkemas SOP dan akan membentangkannya kepada Majlis Keselamatan Negara pada minggu hadapan.

SOP perkara itu, jelasnya, dibincang bersama semua bahagian berkenaan mengenai kaedah yang boleh digunakan bagi memastikan tiada penularan berlaku. 

“Kita memang berhasrat untuk buka tetapi perlu melihat dengan teliti SOP yang boleh diguna pakai, kita tengok sampai penghujung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, kalau kita dah boleh buka semua sektor dan kita kena pastikan jumlah kes harian tidak meningkat.

“Jadi kalau kita boleh kekalkan dua atau satu angka dan turunkan lagi jumlah kes, maka kita boleh buka lebih banyak sektor, kita kena seimbangkan kedua-dua itu,” katanya.

-- BERNAMA 
Powered by Blogger.