Pemilik tanah Kampung Baru sedia dengar tawaran kerajaan
Pemilik tanah di Kampung Baru bersikap terbuka terhadap pembangunan yang dirancang di kampung tradisional berkenaan selagi ia memenuhi syarat ditetapkan Malay Agricultural Settlement (MAS).
Ahli Jemaah MAS merangkap Penasihat Kesihatan dan Alam Sekitar, Raden Salikun Mui, berkata pihaknya menyambut baik pengumuman Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) bahawa kerajaan bakal mengemukakan tawaran harga menarik kepada pemilik tanah.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya yang mewakili pemilik tanah di kampung berkenaan perlu mendapatkan butiran lanjut berkenaan pengumuman itu.
“Penduduk di sini sememangnya terbuka terhadap pembaharuan dan pembangunan namun segala tawaran mestilah menepati garis panduan dan syarat ditetapkan MAS.
“Kita juga mahu perincian lanjut berkenaan tawaran menarik yang diumumkan PKB itu, justeru kita akan menanti sehingga September depan untuk mendengar butiran tawaran berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
BH hari ini, melaporkan kerajaan akan mengemukakan tawaran harga menarik untuk membeli tanah milik penduduk di Kampung Baru dalam pertemuan yang dijangka diadakan pada September depan.
Tawaran itu bagaimanapun hanya membabitkan pemilik tanah terletak dalam kawasan seluas 89 hektar merangkumi 879 lot yang diwartakan sebagai kawasan MAS.
Sementara itu, seorang pemilik tanah, Arifin Selan, 74, berkata keluarganya sedia mendengar tawaran yang akan diumumkan kerajaan dalam pertemuan berkenaan.
“Kita sedia untuk mendengar tawaran yang bakal diumumkan itu dan jika harga diberikan berpatutan kita mungkin akan menerimanya.
“Bagaimanapun, saya harap rancangan untuk menempatkan semula pemilik tanah di kawasan dibangunkan ini ada dalam tawaran berkenaan kerana inilah satu-satunya kampung Melayu di tengah-tengah kota ini,” katanya.
Post a Comment