Skim Pembiayaan Mikro Kredit bantu PKS agromakanan


Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) agromakanan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh menampung kos operasi melalui Skim Pembiayaan Mikro Kredit di bawah Agrobank, bernilai RM350 juta, dengan kadar faedah 3.5 peratus sahaja.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ini akan memberikan lebih banyak peluang kepada usahawan untuk mendapatkan semula modal pusingan bagi memulakan kembali perniagaan yang kehabisan modal disebabkan PKP.

“Jumlah pembiayaan maksimum sebanyak RM50,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga lima tahun agar tidak membebankan pengusaha agromakanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, skim itu juga adalah sebagai galakan kepada usahawan baharu yang ingin menceburi bidang agromakanan sebagai modal permulaan selain turut membantu pengusaha sedia ada terutama peniaga pasar tani, pasar nelayan dan pasar pagi.

Skim pembiayaan itu boleh digunakan untuk memulakan semula perniagaan bagi menggantikan modal perniagaan yang terpaksa digunakan semasa tempoh PKP, katanya.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sejumlah RM350 juta diperuntukkan menerusi kemudahan pinjaman Dana Agrofood bagi memastikan kelangsungan pengusaha pertanian dan komoditi dalam sektor pertanian dan makanan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Sementara itu, Kiandee berkata kementerian akan terus bekerjasama dengan agensi peneraju serta platform e-dagang terpilih bagi menjayakan inisiatif kempen e-dagang di bawah PENJANA.

Beliau berkata, pihaknya amat menggalakkan penggunaan e-dagang oleh pengusaha agromakanan sebagai platform pemasaran yang efektif dalam menembusi pasaran dalam negara dan global pada masa akan datang.

“Kementerian bersedia dan akan bekerjasama dengan agensi peneraju serta platform e-dagang terpilih yang bersedia memberikan latihan ‘onboarding’, subsidi jualan dan khidmat sokongan jualan untuk memastikan golongan sasar mendapat manfaat daripada kemudahan yang disediakan,” katanya.

Menurutnya, kementerian kini bekerjasama dengan beberapa platform e-dagang bagi membolehkan petani memasarkan hasil pertanian secara pukal antaranya Ourshop Airasia, Dropee dan Farm2Table.

Beliau berkata, fokus baharu pada segmen pasaran 'Farm to Business' ini melibatkan pemadanan pengeluar dan pengusaha hasil pertanian di bawah jabatan dan agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),  Lembaga Pertubuhan Perladangan (LPP) dan Jabatan Pertanian Malaysia.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.