Mangsa kereta terjunam sungai dikenal pasti anggota tentera


Polis sudah mengenal pasti mayat lelaki ditemui di dalam kereta Proton Saga FLX yang terjunam ke Sungai Lana Bulu, Megat Dewa, semalam.

Mangsa disahkan adalah anggota tentera, Mohd Shukral Hilmi Mohd Fauzi, 37, yang menetap di Kuarters Angkatan Tentera, Kem Tok Jalai, di sini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata identiti mayat wanita di dalam kereta terbabit bagaimanapun belum dikenal pasti, setakat jam 9 malam tadi.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan makmal untuk mengetahui punca kematian mangsa.

"Mangsa adalah pemilik kereta Proton Saga FLX dengan nombor pendaftaran KEB 7274 yang ditemui dalam sungai berkenaan.

"Namun, kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian semalam, orang awam menemui dua mayat di dalam sebuah kereta yang terjunam ke Sungai Lana Bulu sebelum memaklumkannya kepada polis.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa keluar dari kereta itu dalam operasi hampir empat jam bermula jam 10 malam membabitkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Kedua-dua mayat kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, untuk bedah siasat.

Difahamkan, jenazah Mohd Shukral Hilmi yang sudah beristeri serta mempunyai dua anak itu dituntut oleh keluarga dan selamat dikebumikan di kampung halamannya di Langgar, hari ini.

Terdahulu, Mohd Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang ternampak tayar kereta itu ketika air sungai berkenaan surut jam 8.30 malam.

"Berikutan itu, pegawai trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu bergegas ke lokasi dan menemui kereta berwarna merah hati disyaki terbabas ke dalam sungai," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi talian 04-9172222.

"Kereta itu dibawa ke IPD Kubang Pasu untuk siasatan lanjut," katanya.

Difahamkan, usaha pengecaman identiti mangsa sukar dilakukan berikutan keadaan mayat sudah reput dan bercampur lumpur.

Bagaimanapun, rakan rapat mengesahkan bahawa berdasarkan nombor pendaftaran, kereta terbabit milik seorang lelaki bertugas sebagai anggota tentera, di sini, yang dilaporkan hilang bersama rakan wanitanya sejak seminggu lalu.

Sementara itu, Fazil Abu, 52, berkata kereta itu milik mangsa lelaki yang juga anak angkatnya.

Fazil berkata, beliau hanya mengetahui penemuan kereta itu melalui Facebook selepas dihubungi seorang anaknya.

Sebelum ini, beliau berkata, keluarga anak angkatnya yang berasal dari Perlis sudah membuat laporan polis berhubung kehilangan anggota tentera itu.
Powered by Blogger.