Bakal jemaah tahun ini diberi keutamaan tunai fardu haji 2021 - TH


Semua bakal haji yang giliran haji diperuntukkan pada musim haji tahun ini akan diberi keutamaan untuk menunaikan fardu haji pada 2021.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif  Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata bagi bakal haji yang gilirannya pada 2021, mereka akan turut diberi peluang tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa.

"TH akan menangguhkan semua urusan berkaitan operasi haji bagi Musim Haji 1441H/2020M selaras dengan keputusan kerajaan Malaysia untuk tidak menghantar jemaah haji negara ke Tanah Suci atas faktor keselamatan dan kesihatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini mengumumkan Malaysia menangguhkan pemergian jemaah haji bagi Musim Haji ini ke tahun hadapan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pandemik COVID-19 telah menimbulkan risiko kesihatan awam yang serius di seluruh dunia dengan wabak itu menjangkiti lebih 7.4 juta orang manakala lebih 418,000 terkorban. 

Sementara itu, Nik Mohd Hasyudeen menjelaskan semua bayaran haji yang telah didebit akan dipulangkan semula mengikut kadar penuh ke dalam akaun TH bakal haji masing-masing dalam masa terdekat.

Katanya, jumlah bayaran haji itu juga layak menerima agihan keuntungan bagi tahun 2020.

"TH memohon semua bakal haji untuk bersabar serta menerima keputusan ini dengan reda dan terus berdoa agar keadaan kembali pulih bagi membolehkan urusan haji diteruskan pada tahun hadapan," katanya.

Sementara itu, TH dalam jawapan kepada beberapa soalan lazim berhubung penangguhan itu menyatakan bakal haji yang membuat rayuan dan telah diluluskan untuk menunaikan haji pada tahun ini (1441H/2020), perlu mengemukakan rayuan haji yang baharu pada tahun hadapan (1442H/2021) untuk dinilai semula oleh TH.

Mengenai deposit bakal haji melalui pakej, setiap syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan oleh TH hendaklah memulangkan semula bayaran pakej haji kepada bakal haji yang telah membuat bayaran tertakluk kepada syarat-syarat pakej yang telah dipersetujui di antara bakal haji dan PJH.

Menjawab soalan mengenai pemeriksaan kesihatan, TH menyatakan bahawa bakal haji yang telah lulus pemeriksaan kesihatan pada tahun 1441H/2020 perlu membuat pemeriksaan semula pada tahun 1442H/2021 kerana tempoh sah laku pemeriksaan adalah untuk enam bulan sahaja.

Bagaimanapun, suntikan wajib (meningococcal) tidak perlu diambil semula jika tempoh sah belum tamat (tiga atau lima tahun mengikut jenis suntikan yang diambil) sebelum musim haji tahun hadapan, manakala suntikan tambahan iaitu pneumococcal (lima tahun) dan influenza (setahun), juga bergantung kepada tempoh sah suntikan itu.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.