Tak sempat hantar kuih raya


"Mereka dalam perjalanan menghantar kuih raya kepada tok wan mereka yang tinggal di Besut," kata bapa mangsa, Azman Awang, 58.

Namun hasrat empat beradik itu tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan kira-kira jam 2.50 petang di simpang Kampung Bintang, di sini.

Kemalangan itu menyebabkan Amirah Faqihah, 18, dan Aishah Asmaa, 14, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Aidil Wajdi, 17, dan Arif Muzammil, 16, cedera parah.

Azman berkata, Amirah yang juga anak keduanya sejak beberapa hari lalu tekun menyiapkan beberapa jenis kuih raya untuk diagihkan kepada ahli keluarga termasuk tok wan mereka.

"Ketika mereka bertolak dari rumah di Kampung Saujana kira-kira jam 2.30 petang kebetulan saya ada di rumah dan Amirah paling bersemangat nak hantar kuih pada tok wannya.

"Mengikut perancangan asal mereka hanya pergi sekejap tidak bermalam di sana kerana mahu pulang terus ke rumah hari ini," katanya.

Mangsa kemalangan adalah anak kedua hingga kelimanya daripada sembilan beradik.

"Amirah dan Aishah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Saujana esok. Aidil dan Arif dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, berkata kemalangan maut itu membabitkan kereta Perodua Bezza dengan treler.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu treler berumur 30 dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuantan tidak sempat mengelak sebelum terlanggar sisi kanan kereta dinaiki mangsa yang secara tiba-tiba keluar dari simpang Kampung Bahagia.

"Kes di siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.