Cubaan tokan dadah larikan diri dari sekatan jalan raya gagal


Tingkah laku mencurigakan seorang lelaki yang menunggang motosikal Yamaha R250 ketika melalui sekatan jalan raya di Jalan Jeniang-Sik-Pedu di Begia, dekat sini, hari ini membongkar kegiatannya yang dipercayai tokan dadah.

Lelaki berusia 33 tahun itu dikatakan tidak memberi kerjasama ketika ditahan pada jam 9 pagi, selain cuba melarikan diri dari sekatan dalam Ops Bersepadu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik.

Berikutan iu, berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis sebelum suspek ditahan.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman, berkata pemeriksaan lanjut dalam beg pinggang suspek menemukan empat paket plastik lutsinar mengandungi serbuk putih disyaki heroin dengan anggaran berat 4.50 gram.

Beliau berkata, suspek yang berasal dari Kampung Kilang Ubi Begia itu ditahan mengikut Seksyen 28a Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

"Suspek dan barang kes kemudian dibawa ke IPD Sik untuk tindakan lanjut," katanya.

Abdul Razak berkata, hasil semakan rekod mendapati, suspek mempunyai lima rekod jenayah dan dadah.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati dia positif dadah jenis methapetamin.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Hasil siasatan juga mendapati suspek yang juga penganggur itu dipercayai tokan yang mengedar dadah secara kecil-kecilan di kawasan itu," katanya.

Dalam operasi itu juga, anggotanya mengeluarkan 14 saman terhadap penunggang dan pemandu kenderaan kerana melakukan pelbagai kesalahan.

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan termasuklah tiada lesen memandu, nombor pendaftaran kenderaan, tali pinggang, tiada insuran, tidak memakai topi keledar dan membawa muatan bahaya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.