Campak bayi luar nikah dari tingkat empat


Seorang pembantu kedai tergamak mencampak bayi perempuannya yang baharu dilahirkan dari tingkat empat rumah yang didiaminya dalam kejadian di Flat Blok Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru, di sini, pagi tadi.

Kejadian itu disedari seorang penghuni flat terbabit pada jam 8 pagi selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumahnya, sebelum dia menemui sebuah beg yang di dalamnya terdapat seorang bayi cukup sifat yang masih bernyawa.

Terkejut dengan penemuan itu, penghuni terbabit kemudian menghubungi polis memaklumkan berkaitan insiden itu untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, berkata polis pergi ke ke lokasi kejadian bersama petugas perubatan Klinik Kesihatan Bayan Baru untuk membuat pemeriksaan lanjut.

"Ketika tiba di lokasi mendapati bayi itu ditemui dalam keadaan masih bernyawa di bahagian kawasan terbuka flat terbabit.

"Polis kemudian mengenal pasti rumah suspek dan membawa dia bersama bayinya ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Anbalagan berkata, siasatan ke atas suspek berusia 18 tahun itu mendapati dia mengaku melahirkan bayinya pada jam 7 pagi tadi di dalam tandas rumah tanpa pengetahuan ahli keluarganya.

"Suspek panik dan dia membuat keputusan membuang bayinya dari tingkat empat melalui balkoni kecil rumah flatnya untuk mengelak diketahui ahli keluarganya.

"Ketika kejadian ibu bapanya tiada di rumah kerana berada di Kelantan manakala adik-beradik yang tinggal bersama suspek tidak menyedari kejadian ini," katanya.

Menurutnya, suspek merahsiakan dirinya mengandung daripada ahli keluarganya dan mendedahkan bapa kepada bayi itu adalah teman lelakinya yang sebaya dengannya.

"Usaha mengenal pasti teman lelaki suspek giat dilakukan polis.

"Ketika ini, doktor sedang melakukan pemeriksaan lanjut untuk mengetahui keadaan bayi terbabit memandangkan terdapat pendarahan pada kepala," katanya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.