40km kejar suspek rempuh SJR, 3 ditahan


Tiga lelaki dengan pelbagai rekod jenayah ditahan selepas hampir 40 kilometer (km) dikejar polis dari Simpang Pulai ke Kampung Chenderiang di Tapah, dekat sini, hari ini.

Terdahulu, kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Avanza dinaiki mereka merempuh tiga sekatan jalan raya (SJR) di Ipoh, Kampar dan Tapah, dalam usaha meloloskan diri.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata kenderaan dinaiki suspek pada mulanya ditahan untuk tujuan pemeriksaan di Jalan Sultan Nazrin Shah di Simpang Pulai, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi berikutan kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

"Suspek bagaimanapun enggan memberhentikan kenderaan dan terus mengelak, malah cuba melanggar seorang anggota bertugas di SJR.

"Anggota kemudian mengekori kenderaan suspek ke Jalan Changkat Larang dan menghubungi bilik gerakan untuk bantuan unit kereta peronda dan anggota daerah Kampar," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

A Asmadi berkata, suspek turut melanggar SJR di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng dengan merempuh papan tanda dan cuba melanggar anggota bertugas, sebelum menuju ke arah Pekan Kampar.

Katanya, kenderaan suspek kemudiannya menuju Chenderiang di Tapah dan terus diekori polis serta pasukan petugas COVID-19 Tapah.

"Op tutup kemudian diadakan di kawasan Chenderiang, malah anggota terpaksa melepaskan tiga das tembakan dalam usaha menghalang suspek terus meloloskan diri.

"Kenderaan dinaiki suspek kemudian terbabas di tepi jalan dan melanggar tiang rumah penduduk kampung. Tiga suspek berusia 21,23 dan 26 tahun sudah ditahan," katanya.

A Asmadi berkata, siasatan mendapati semua suspek datang ke Ipoh untuk berhibur dan merancang balik semula hari ini tetapi polis berjaya menahan mereka.

"Ujian air kencing dijalankan mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan mengesahkan mereka memiliki beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah, curi kenderaan termasuk kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

"Tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 26(1) dan Seksyen 42 dan 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.