3 beradik dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Terengganu


Tiga beradik dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu, kira-kira jam 6.30 petang tadi.

Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, semua mangsa lelaki dikenali sebagai Umar Iskandar Mohamad, 21 dan dua adiknya, Khairil Firdaus, 17, serta Khalif Naim, 15 tahun.

Beliau berkata, mereka tinggal berhampiran sungai berkenaan dikatakan menuju ke sungai itu kira-kira jam 6 petang.

Katanya, kejadian disedari oleh empat lelaki yang sedang memancing di tebing Sungai Kampung Mesah yang terletak di seberang sungai tempat berlakunya kejadian berkenaan.

"Empat pemancing mendakwa nampak mangsa mandi dan tidak lama kemudian mereka terdengar suara meminta tolong sebelum bergegas ke lokasi kejadian menggunakan jalan darat.

"Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, saksi mendapati mangsa sudah hilang," katanya.

Katanya, bapa mangsa, Mohamad Ismail, 64, yang ke lokasi kejadian mengesahkan semua mangsa adalah anaknya berdasarkan pakaian dan telefon bimbit yang ditinggalkan di tebing sungai.

Beliau berkata, seramai 41 anggota pasukan keselamatan termasuk 18 anggota polis, 15 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, 8 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama penduduk kampung memulakan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bermula jam 9 malam tadi dan dijangka berakhir 12 tengah malam. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.