Perhimpunan Sabtu ini untuk semua
Perhimpunan Solidariti Kedamaian Sabtu ini ialah perhimpunan untuk rakyat Malaysia bersandarkan konsep keamanan dan kedamaian, tanpa mengira anutan agama dan ideologi politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata mereka yang akan turun menyertai perhimpunan itu haruslah memakai pakaian berwarna putih, tanpa membawa sebarang logo parti politik.
Menggunakan simbol burung merpati putih berlatar belakangkan bunga raya sebagai simbol kedamaian, perhimpunan itu akan bermula di hadapan pusat membeli-belah Sogo pada pukul 7 pagi, sebelum peserta berarak ke Dataran Merdeka.
Bercakap kepada BERNAMA dan Radio Televisyen Malaysia dalam satu temu ramah di Parlimen hari ini, Mujahid berkata, beliau sudah memanjangkan jemputan perhimpunan itu kepada menteri Kabinet, termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, selain barisan pembangkang.
“Pada suasana dunia hari ini yang menyaksikan peningkatan kebencian sesama manusia sehingga berlakunya banyak insiden keganasan termasuk yang terkini di New Zealand, sebagai rakyat Malaysia kita bukan sahaja mahu melahirkan rasa simpati tetapi kita mahu tunjuk lebih daripada itu.
“Di Dataran Merdeka nanti, kita akan mendengar ucapan-ucapan yang membawa mesej kedamaian dan akhirnya kita akan membuat satu deklarasi yang membawa suara hati rakyat Malaysia yang menentang sebarang bentuk kebencian dan keganasan. Sebaliknya, mahukan kehidupan yang aman damai,” katanya.
Mujahid berkata, seramai 5,000 hingga 10,000 rakyat Malaysia akan menyertai perhimpunan aman itu yang turut akan menyaksikan pembabitan anggota persatuan pelbagai agama.
“Lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menyertai perhimpunan itu, termasuk persatuan agama seperti Sikh, Taoism, Buddha, Kristian, Hindu dan Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Perunding Program Gabungan Bertindak Malaysia, Eugene Yapp Guan Seng, berkata sebanyak 27 NGO di bawah naungan gabungan itu yang mewakili kaum Cina, Melayu dan India akan menyertai perhimpunan berkenaan nanti.
“Misi NGO sememangnya untuk mempromosi keharmonian antara kaum dan penganut agama. Jadi, perhimpunan ini adalah peluang yang penting dan jarang-jarang berlaku.
“Kami memang teruja untuk menyertai perhimpunan ini untuk memberitahu pada dunia yang rakyat Malaysia menolak semua bentuk keganasan,” katanya. - BERNAMA
Post a Comment