Ejen Ali, Didi dan Yaya sertai perarakan Hari Kebangsaan 2019


Karakter animasi kegemaran kanak-kanak, ‘Ejen Ali’, ‘Didi’ dan ‘Yaya’, merupakan antara tarikan yang ditampilkan pada perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2019 di sini pada Sabtu ini.

Penampilan ketiga-ketiga belon gergasi karakter tersebut merupakan inisiatif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menyerikan lagi sambutan hari kebangsaan.

“Mereka memang terkenal, dan kami di Finas percaya ia akan menjadi daya penarik kepada semua hadirin nanti,” kata Ketua Unit Media dan Dokumentasi Finas Jamaludin Bakar ketika dihubungi Bernama hari ini.

Jamaludin berkata Finas menjangka karakter-karakter itu akan 'popular' dalam kalangan pengunjung untuk bergambar.

Perarakan belon gergasi berukuran antara 30 kaki hingga 40 kaki itu akan bermula dari bangunan Kementerian Belia dan Sukan dan berakhir di Kementerian Kewangan.

“Pasukan kami akan berhenti di bangunan Kementerian Kewangan, jadi orang ramai boleh berjumpa dan mengambil foto kenangan,” kata Jamaludin.

Perarakan itu juga akan disertai dengan penampilan pelbagai maskot animasi negara.

Ejen Ali merupakan siri animasi terbitan Primeworks Studios bersama Wau Animation yang mengisahkan seorang pelajar bernama Ali, yang menjadi perisik untuk sebuah pertubuhan rahsia.

Yaya pula seorang gadis bertudung ‘pink’ dalam animasi Boboiboy, dan mempunyai kuasa manipulasi graviti manakala Didi, salah seorang karakter Didi&Friends.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.