Tujuh lokasi di Sabah, Sarawak untuk B40, OKU tuntut dekoder myFreeview


Tujuh lokasi - satu di Sabah dan enam di Sarawak - telah dikenal pasti sebagai pusat pengagihan dekoder percuma myFreeview bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan orang kurang upaya (OKU) yang layak membuat tuntutan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengagihan dekoder percuma di lokasi terpilih adalah dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang, pada tarikh pengagihan yang ditetapkan.

Di Sabah, pusat pengagihan terletak di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kota Kinabalu dan dekoder boleh dituntut pada 20 hingga 22 Feb.

Di Sarawak, terdapat dua pusat pengagihan di Kuching iaitu Aeroville Mall dengan tarikh pengagihan pada 15 dan 16 Feb; manakala di E-Mart Batu Kawah pula pada 17 dan 18 Feb.

Dua pusat pengagihan di Miri ialah E-Mart Tudan pada 26 Feb manakala tarikh pengagihan di Dewan Suarah Miri pula pada 27 dan 28 Feb.

Di Bintulu, dekoder boleh dituntut di Times Square Mall pada 1 dan 2 Mac dan di Sibu pula di Sekolah Menengah Kebangsaan Nangka pada 7 dan 8 Mac.

"Warga B40 dan golongan OKU yang layak dan berdaftar di Sabah dan Sarawak, adalah digalakkan untuk menuntut dekoder percuma myFreeview di pusat-pusat pengagihan terdekat secara berperingkat bermula 15 Februari ini," menurut MCMC.

MCMC menasihatkan orang ramai untuk membawa bersama kad pengenalan bagi tujuan pengesahan.

Katanya, semakan kelayakan untuk mendapatkan dekoder percuma boleh dibuat melalui SMS dengan menaip MYTV (jarak) DEKODER (jarak) (nombor kad pengenalan anda) dan hantar ke 15888, atau layari www.mytvbroadcasting.my/B40 atau hubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan myFreeview di talian 1-300-80-6988 atau 1-800-18-1088.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh melayari www.myFreeview.tv atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan MYTV di talian 1-800-18-1088 atau 1-300-80-6988 dari pukul 8 pagi sehingga 10 malam setiap hari, termasuk cuti umum. 

Permohonan set dekoder percuma untuk golongan B40 yang layak juga boleh dibuat melalui e-mel ke digitaltv@mcmc.gov.my.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.