Kemenangan untuk keluarga - Naim Daniel


“WANG kemenangan yang diterima ini saya ingin dahulukan untuk keluarga dan ingin buat mereka gembira,” kata penyanyi Naim Daniel mengenai wang kemenangan berjumlah RM50,000 yang diterima selepas lagu ciptaanya bersama Omar K, Sumpah dipilih sebagai juara Anugerah Juara Lagu Ke 34 (AJL34), malam tadi.

Naim ketika ditemui berkata, sepanjang 15 tahun mencurahkan bakat dalam industri hiburan, tidak banyak yang dapat diberikan kepada keluarganya.

“Sebagai anak, saya sedar tidak banyak yang dapat saya berikan kepada keluarga saya jika dibandingkan dengan apa yang mereka berikan. Namun apabila Allah beri tanggungjawab serta bakat nyanyian dan lakonan saya akan cuba sehabis baik untuk membalas jasa mereka,” katanya yang juga pelakon.

Menurut Naim, walaupun berdepan rasa gemuruh, dia menganggap kemenangan lagu Sumpah adalah satu lembaran baru buat dirinya pada tahun 2020 ini.

“Sebagai pendatang baru, saya sangat bersyukur dan berbangga apabila dapat bersama dan berkongsi pentas dengan pengkarya hebat tanah air. Sesuatu yang tidak terjangkau dalam fikiran saya.

“Jujur memang ada perasaan gemuruh. Saya rasa itu adalah perasaan yang bagus untuk diri saya kerana saya rasa bernyawa dan mengharungi cabaran itu dengan sesuatu yang di luar jangkaan kita.

“Saya anggap persembahan ini bukan persembahan saya semata-mata tapi satu tanggungjawab untuk menghiburkan penyokong yang selama ini meminati lagu Sumpah,” katanya.

Katanya, sebaik dia menyanyikan lagu itu, dia menangis di belakang pentas kerana seakan tidak percaya sudah berada di tahap sekarang.

“Saya seakan tidak percaya apabila dapat berpeluang berdiri dengan barisan juara dan alumni AJL yang sudah banyak kali bertanding. Begini rasa seronoknya apabila sesuatu karya itu diangkat sebagai juara. Ia sekali gus memberi saya semangat untuk terus berkarya dan menampilkan lebih banyak material yang berkualiti,” katanya.

Sementara itu, ketua juri Ajai berkata, kelebihan Sumpah terletak kepada melodi serta lirik yang memberi penghayatan mendalam.

“Apa yang lebih utama adalah melodi lagu serta lirik dalam lagu itu yang akan membawa penghayatan kepada pendengar. Menerusi lagu Sumpah rakaman lagu ini sedap.

“Bagaimanapun ketika dia menyanyikan lagu itu secara langsung, saya akui ada sedikit kekurangan. Namun markah diadili pada rakaman lagu ini. Sesiapa saja yang bawakan lagu ini pasti sedap. Ini bukan bermakna saya nak cakap dia menyanyi tak bagus tapi ada lagi penyanyi lain yang lebih handal menyanyi tadi.

“Tidak semestinya tak bagus menyanyi tidak boleh bergelar juara kerana kita berpandukan kepada melodi dan secara keseluruhan lagu itu,” katanya.

Acara berprestij yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil Kuala Lumpur malam tadi turut menyaksikan lagu Bangun ciptaan Aman Ra dan Navigator nyanyian Aman Ra menang tempat kedua.

Tempat ketiga milik lagu Anta Permana ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong nyanyian Bob Yusof. Ia adalah lagu asal nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza. - HARIAN METRO
Powered by Blogger.