Empat hektar hutan di Bukit Bendera terbakar


Lebih empat hektar hutan antara kawasan Bukit Bendera dan Kek Lok Si, di sini, terbakar, lewat petang tadi.

Difahamkan, kebakaran berpunca daripada kerja pembakaran terbuka longgokan pokok yang ditebang di kawasan terbabit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Pulau Pinang, berkata seramai 10 anggota dari Balai Bomba Paya Terubong dibantu 19 anggota bomba sukarela dari Bukit Bendera, Mount Erskine dan Paya Terubong dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran sebaik menerima panggilan pada jam 7.12 malam.

“Kebakaran membabitkan hutan tebal. Terdapat empat tompok kebakaran dengan anggaran keluasan setiap tompok adalah satu hektar.

“Anggota terpaksa berjalan kaki mendaki ke lokasi kebakaran berikutan tiada laluan bagi jentera untuk ke sana.

“Operasi dimulakan sejak jam 7.30 malam tadi dengan kerja pemadaman dibuat menggunakan pemerap api dan jet shooter,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh, berkata maklumat terkini yang diterima daripada pihak bomba memaklumkan kerja pemadaman masih giat dilakukan bagi memastikan tiada bara api yang tertinggal.

Bomba yang melakukan pemantauan di lokasi turut memaklumkan setakat ini terdapat tiga tompok kebakaran dengan tompok pertama dianggarkan berkeluasan empat hektar manakala tompok kedua, dua hektar.

“Anggota sedang beralih ke spot (tompok) ketiga untuk kerja pemadaman dengan anggaran keluasan masih belum dapat dipastikan.

“Anggota bomba berdepan kesukaran untuk memadam kebakaran berikutan keadaan hutan yang gelap selain kawasan kebakaran berhampiran cerun bukit,” katanya di sini, malam ini.

Bagaimanapun Boon Poh berkata, bomba memaklumkan setakat ini keadaan adalah terkawal dan maklumat terkini akan dimaklumkan dari masa ke semasa. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.