Tere Liye Puji Ejen Ali


Filem animasi pertama terbitan Primeworks Studios dengan kerjasama WAU Animation, Ejen Ali mendapat pujian penulis novel dan pemuisi terkenal Indonesia, Tere Liye.
Ejen Ali mula ditayangkan hampir 100 panggung di seluruh Indonesia bermula 1 Januari lalu turut mendapat maklum balas positif daripada media dan peminat filem di sana.
Ejen Ali di Indonesia diedarkan oleh PT Spektrum.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar dalam kenyataannya, maklum balas positif diterima adalah satu perkembangan menggembirakan bukan saja buat Ejen Ali tetapi industri perfileman animasi tempatan.
“Saya terharu menerima maklum balas daripada Tere Liye yang menyifatkan Ejen Ali sebuah animasi terbaik pernah dihasilkan Malaysia walaupun dia agak asing dengan karakter yang ada dalam filem ini.
“Bukan itu saja, Tere Liye turut mengajak lebih lima juta pengikutnya di laman sosial Facebook untuk ke pawagam menyaksikan Ejen Ali dan dia sendiri menyaksikan animasi yang kami terbitkan pada hari pertama tayangan,” katanya.
Dalam kenyataan dimuat naik Tere Liye mengenai Ejen Ali, lima minit pertama tayangan dia sudah dapat merasai kehebatan filem itu.
“Selepas 30 minit menyaksikannya, saya masih lagi berasakan Ejen Ali hebat. Walaupun saya tidak mengenali kebanyakan karakter dalam animasi ini, ia langsung tidak memberi masalah kerana jalan ceritanya mudah difahami,” katanya.
Lebih daripada itu jelas Tere Liye, kualiti animasi Ejen Ali sangat mengagumkan apabila ia setaraf karya dari Amerika dan Jepun.
“Lebih membuatkan saya suka mengenai filem ini apabila ia menampilkan banyak pengisian tempatan seperti makanan, pakaian, kehidupan seharian sehinggalah kepada perkara yang sangat terperinci.
“Selalunya pengisian seperti ini hanya dibuat atas dasar untuk mempromosi tetapi tidak dalam Ejen Ali, ia menjadi pengerak cerita,” katanya.
Tere Liye turut merakamkan ucapan taniah kepada pihak penerbit dan tenaga kerja Ejen Ali kerana meletakkan Malaysia di aras tinggi dalam penghasilan filem animasi. - HARIAN METRO 
Powered by Blogger.