Kebajikan pekerja sektor ekonomi gig dipelihara


Jawatankuasa khas yang ditubuh kerajaan bagi merangka penyelesaian jangka panjang isu berkaitan ekonomi gig akan menumpukan terhadap usaha menjaga kebajikan pekerja terbabit dan mengelak mereka dieksploitasi majikan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata selain mengelakkan unsur penganiayaan kepada pekerja, jawatankuasa itu akan mencari jalan bagi mewujudkan situasi ‘menang-menang’ antara pekerja dan majikan.

“Rundingan antara kementerian terbabit masih dijalankan dan belum ada kesimpulan boleh dibuat.

“Bagaimanapun, kita akan cuba sebaik mungkin untuk mencari jalan penyelesaian bagi memastikan pekerja dalam sektor ini tidak dieksploitasi majikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengayaan Buruh dan Profesionalisme (LEAP) di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah kerajaan melindungi kebajikan pekerja yang terbabit dalam ekonomi gig dan mengelak isu membabitkan pekerja sebuah syarikat penghantaran makanan sebelum ini daripada berulang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas itu yang dianggotai Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Ekonomi gig merujuk kepada kegiatan ekonomi yang dijalankan individu dengan cara menjual perkhidmatan kepada orang lain dan dijalankan sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa.

Mengenai seminar LEAP dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dan Pembangunan Sumber Manusia Bhd itu, Mahfuz berkata, ia bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan tahap profesionalisme pekerja.

“Seminar ini bagi mempersiapkan pekerja dengan perubahan persekitaran pekerjaan selain memastikan pekerjaan mereka terus kekal relevan walaupun berlaku perubahan arus perdana teknologi selaras dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya. – BERNAMA
Powered by Blogger.