Dasar Kebersihan Negara bermula dengan rakyat yang bertanggungjawab


Sokongan dan kerjasama rakyat akan merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara lebih sejahtera, bersih dan aman dalam menguruskan sisa pepejal dan sampah dengan cara yang baik menerusi Dasar Kebersihan Negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata justeru, pelbagai inisiatif boleh dilaksanakan berpandukan garis panduan dasar berkenaan termasuk menggalakkan minat rakyat menjadikan budaya mengumpul sampah sebagai sumber pendapatan sampingan atau ‘Trash to Cash’.

“Saya rasa tidak mungkin kita (kerajaan) boleh buat sendiri, sebab itu kita melancarkan bumbung komuniti (sekretariat) dan persatuan penduduk menjadi ejen yang dapat memastikan bahawa kawasan perumahan dapat dijaga dengan baik.

“Mereka (persatuan) akan diberikan taklimat untuk memastikan program kitar semula di dalam kawasan (perumahan) berjalan lancar sekali gus menjadi pemantau supaya penduduk tidak membuang sampah merata-rata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Kebersihan Negara sempena Sambutan Hari Habitat Sedunia 2019 peringkat Malaysia, Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2019 dan perasmian Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti (SMK) PPR Tehel, di Bemban, di sini, hari ini.

Perasmian program disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah dan Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Pelaksanaan dasar bermula tahun depan sehingga sehingga 2030 itu memberi fokus kepada lima kluster bersama 14 strategi komprehensif, selain menggariskan 87 pelan tindakan bagi memperinci pelaksanaan diambil kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa negeri, kerajaan tempatan dan agensi berkaitan.

Lima kluster dalam Dasar Kebersihan Negara itu iaitu kesedaran terhadap kebersihan, kelestarian alam sekitar, ekonomi kitaran, tadbir urus dan penguatkuasaan, serta modal insan. berkualiti dan berkemahiran.

Zuraida berkata, inisiatif program ‘Trash To Cash’ di seluruh negara yang akan dilancarkan di enam tempat termasuk di Melaka itu membimbing dan menarik minat rakyat supaya menjadikan sampah kepada duit dan sumber pendapatan tambahan.

Beliau turut mengingatkan supaya giat menyokong kempen ‘Berani Tegur’ dengan memberi galakan kepada masyarakat supaya berani menegur kepada sesiapa membuang sampah merata-rata.

Katanya, kerajaan turut berhasrat menjadikan PPR di seluruh negara mewujudkan pejabat SMK seperti di Tehel, yang akan membimbing dan memimpin penduduk menjaga kebersihan dan menguruskan sampah secara teratur.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan empat inisiatif kebersihan negeri dan ia termasuk mengguna pakai garis panduan Dasar Kebersihan Negara, tahun depan.

“Kempen ‘Ini Rumah Kita’ sudah pun diperkenalkan kerajaan negeri tahun ini, dan sedang dilaksanakan. Bagi tahun depan, kita akan mulakan dengan gotong-royong namun Dasar Kebersihan Negara akan diserap dalam empat inisiatif itu,” katanya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.