KDN tidak iktiraf kad data dokumentasi warga asing


Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak terbabit dalam kegiatan pengumpulan data dan pengeluaran kad dokumentasi kepada warga asing terutama pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat bagi menafikan dakwaan kononnya KDN mempunyai kaitan dengan perkara terbabit.

KDN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, ada menerima maklumat berhubung kegiatan beberapa syarikat dan pertubuhan mengumpulkan data, mendaftar dan mengeluarkan kad dokumentasi kepada warga asing terutama kepada PATI.

“Kegiatan itu semakin aktif sejak kebelakangan ini dan KDN turut menerima aduan daripada pihak majikan dan orang ramai yang keliru.

“Mereka berasa ditipu ejen syarikat yang mendaftar kad dokumentasi dengan mengenakan jumlah bayaran tertentu namun fungsi kad itu tidak seperti dijanjikan.

“KDN tidak pernah melantik Mega Management Consultancy Sdn Bhd menjalankan pengumpulan data maklumat dokumentasi pekerja asing, warga asing atau mana-mana individu yang mempunyai masalah kerakyatan di Sabah.

“Sehubungan itu, kad yang dikeluarkan syarikat berkenaan tidak memberi sebarang keistimewaan kepada warga asing dan tidak akan diguna pakai dalam penentuan atau pemberian status kerakyatan oleh agensi kerajaan.

“Susulan itu, satu laporan polis dibuat bagi menafikan kaitan KDN dalam kegiatan pengumpulan data dan pengeluaran kad dokumentasi ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 memperuntukkan kesalahan individu yang didapati melindungi PATI di Malaysia, boleh didenda tidak kurang RM10,000 bagi setiap PATI yang dilindungi atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta boleh dikenakan sebatan.

“Orang ramai diingatkan tidak membuat pembayaran kepada mana-mana pihak yang mendakwa melakukan program bancian atau mendaftar kad dokumentasi kepada warga asing,” katanya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.