Kerajaan Siap Siaga Hadapi Jerebu Yang Semakin Teruk - TPM

Kerajaan sedang meningkatkan kesiapsiagaan dalam menangani masalah jerebu yang semakin teruk melanda negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata kerajaan juga tidak teragak-agak untuk mengisytiharkan keadaan darurat sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi tahap 500, iaitu keadaan yang sangat bahaya.

Selain itu menurutnya pelbagai usaha dilakukan bagi meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka untuk mengelakkan keadaan menjadi bertambah buruk.

"Berdasarkan maklumat Laporan Terkini Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia sehingga 14 Sept 2019, seluas 328,724 hektar kawasan telah terjejas dengan kebakaran hutan di seluruh Indonesia," katanya selepas merasmikan Program Sayangi Komoditiku Zon Sarawak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mukah di sini.

Menurut Dr Wan Azizah, kerajaan Indonesia telah meningkatkan pemantauan terhadap titik panas, jarak ketampakan, kualiti udara dan kewujudan asap di samping melakukan Operasi Pembenihan Awan (OPA), pengeboman udara dan juga pemadaman api di darat.

Enam wilayahnya yang terjejas ialah Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Daerah Sri Aman di Sarawak merekodkan IPU yang semakin meningkat dengan bacaan di tahap berbahaya menghampiri 400 setakat pukul 6.00 petang tadi, dan berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) bacaan terkini kawasan itu adalah 389, melepasi 300 sejak pukul 2.00 petang.

Kuching masih berada pada tahap IPU sangat tidak sihat dengan bacaan 213 diikuti Johan Setia Klang, Selangor iaitu 231. Nilai, Negeri Sembilan merekodkan bacaan 206 manakala Seri Manjung di Perak menjadi lokasi terbaru sejak tengah hari tadi mencatatkan kualiti udara sangat tidak sihat iaitu 232 berbanding 183 pada pukul 9 pagi tadi.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia sudah menawarkan khidmat bagi membantu Indonesia memadamkan kebakaran hutan di negara itu.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Dr Wan Azizah menggesa para belia melakukan anjakan paradigma dengan memberanikan diri memasuki bidang-bidang yang dahulunya dianggap sebagai bidang 3D – (kotor, sukar dan berbahaya) seperti sektor perladangan.

"Ini bermaksud para belia perlu mengambil peluang yang diberikan oleh kerajaan dengan menceburi bidang yang mampu meningkatkan taraf hidup mereka selaras dengan wawasan negara untuk menjadi negara maju," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah berkata Kementerian Industri Utama telah menetapkan sasaran pada tahun 2020, untuk nilai pendapatan eksport produk komoditi pada RM146 bilion dan sumbangan minimum kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekurang-kurangnya lapan peratus.

"Dari Januari hingga Disember 2018, pendapatan eksport adalah RM127.78 billion. Pendapatan eksport perlu ditingkatkan 12.5 peratus untuk mencapai sasaran tahun 2020 itu," katanya. - BERNAMA
Powered by Blogger.