Jerebu: Program Malaysia Future Leaders School di 9 kem batal

Program Malaysia Future Leaders School (MFLS) di sembilan daripada 17 kem dibatalkan susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan kem terbabit berada pada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat.

Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dalam kenyataan hari ini berkata MFLS kohort 9 itu sepatutnya dijadualkan bermula esok hingga 27 September ini.

Kem terbabit ialah Kem Wawasan Negara Meru, Selangor; Kem Wawasan Negara Ulu Sepri, Negeri Sembilan; Kem Wawasan Negara Alor Gajah, Melaka; Kem PLKN Sri Ledang, Tangkak, Johor'; dan Kem Wawasan Negara Lipis, Pahang.

Kem Wawasan Negara Bukit Sagu, Pahang; Kem Wawasan Negara Maran, Pahang; Outward Bound Lumut, Perak; dan Kem Wawasan Negara Sampadi, Sarawak.

"Ini adalah kerana 60 peratus aktiviti MFLS dilaksanakan secara aktiviti luar (outdoor) yang boleh memberikan kesan buruk kepada tahap kesihatan peserta MFLS di kem tersebut dan terpaksa dibatalkan dengan serta-merta,” kata i-LEAD.

i-LEAD berkata pembatalan itu juga selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan berkaitan langkah-langkah yang perlu diambil bagi sekolah-sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.