Undang-undang sedia ada cukup untuk tangani penularan berita palsu - Gobind


Undang-undang sedia ada di negara ini sudah mencukupi untuk kerajaan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat dan berita tidak benar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Sehubungan itu, beliau berkata tidak timbul persoalan sama ada perlu mewujudkan semula Akta Antiberita Tidak Benar buat masa ini bagi menangani penularan berita palsu.

“Bukan soal sama ada, ada atau tidak undang-undang yang boleh digunakan… undang-undang itu ada, dan saya lihat semalam tindakan diambil menggunakan peruntukan di bawah Kanun Keseksaan. Jadi soalnya, ada atau pun tidak, kita boleh hentikan penularan (berita tidak benar) sama sekali.

“Kita (juga) melaksanakan inisiatif atau kempen meminta kerjasama untuk menggurangkan (penularan berita palsu dan) kalau dapat dihentikan lebih baik, tapi ada individu-individu yang mengambil kesempatan dan ini satu perkara yang perlu dilihat dan dipantau polis sekiranya ada laporan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program 'Info On Wheels', program yang memberi penerangan mengenai jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) , e-tunai rakyat dan pengurangan kadar tol 18 peratus di Pasar Besar Seremban di sini, hari ini.

'Info on Wheels' merupakan satu program hebahan di kawasan awam yang dijalankan oleh Unit Hebahan Bergerak Jabatan Penerangan untuk menyampaikan maklumat dan dasar-dasar kerajaan secara bersemuka kepada seluruh lapisan masyarakat.

Meskipun isu penularan berita palsu kerap dilaporkan kebelakangan ini, Gobind berkata ia menunjukkan pengurangan selepas kerajaan memulakan kempen yang meminta masyarakat agar bekerjasama membanteras berita palsu.

“Ini adalah masa untuk kita semua perlu bekerjasama supaya kita boleh pastikan apa yang kita baca dan apa yang kita kongsikan, apa yang kita nak sampaikan di luar sana adalah maklumat yang berkesan dan membantu kita mencegah dan mengatasi masalah ini,” katanya.

Mengenai 2019-nCoV yang turut menjadi sasaran penularan berita palsu, Gobind menasihatkan masyarakat supaya melayari Facebook dan Twitter Kementerian Kesihatan, selain mengikuti sidang media harian kementerian itu bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih.

Selain itu, katanya, masyarakat juga boleh merujuk kepada portal Sebenarnya.my serta mendapatkan maklumat terkini menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang turut memberikan laporan sahih.

“Saya juga ambil kesempatan ucap terima kasih kepada semua pemberita kerana memainkan peranan yang sangat penting pada masa ini untuk pastikan kita dapat membawa maklumat yang tepat dan benar kepada semua masyarakat.

“…dan saya rasa dalam keadaan ini, kita semua kena bekerjasama untuk pastikan kita dapat melalui masalah ini dengan baik dan pastikan kita bekerjasama untuk mencegah koronavirus daripada menjadi satu perkara atau masalah yang besar di luar kawalan kita,” katanya.

Gobind dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada petugas kesihatan serta semua pihak yang menjayakan misi membawa pulang 107 individu dari Wuhan, China, pada awal pagi Selasa.

“Apa yang mereka laksanakan itu adalah sangat terbaik...,” katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.